Khamis, 25 Februari 2010

6000 PELAJAR TERENGGANU TERLIBAT JENAYAH

"(Bernama) -- Lebih 60 peratus kejadian jenayah di Terengganu dalam tempoh dua bulan lepas dilakukan oleh golongan belia dan pelajar, kata Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau angka itu amat membimbangkan dan polis akan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mencegah golongan tersebut daripada terbabit dengan jenayah selain mengurangkan kadar jenayah di negeri berkenaan.

"Untuk dua bulan pertama ini kita dapati 60 peratus kes-kes jenayah yang dilaporkan di Terengganu ini melibatkan pelajar dan sebahagian besarnya mereka yang berumur 30 tahun ke bawah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua Polis Daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini hari Selasa.

Mohd Shukri berkata pihaknya telah merangka beberapa pendekatan yang menumpukan kepada program pencegahan jenayah bagi memastikan jumlah mereka yang terlibat dengan kegiatan itu menurun.

"Kita juga akan mengadakan ceramah di sekolah-sekolah serta taklimat kepada persatuan belia dengan kerjasama dari agensi-agensi yang ada kaitan dengan belia," katanya.

Selain itu, Mohd Shukri berkata pihaknya juga akan memperhebatkan operasi bagi membendung gelaja 'merempit' pada kalangan remaja yang bukan sahaja menimbulkan suasana yang tidak selesa pada kalangan penduduk setempat dan pelancong tetapi turut mengundang bahaya kepada orang ramai.

-- BERNAMA
6,000 Pelajar Menengah Di Terengganu Bermasalah

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama)-- Seramai 6,000 orang pelajar sekolah menengah di Terengganu dikenal pasti terlibat dengan gejala ponteng sekolah, mat rempit, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata walaupun angka itu kecil berbanding 250,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu tetapi kerajaan negeri tetap memandang serius masalah itu.

Katanya kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan sedang mengambil tindakan bagi membendung gejala tidak sihat itu.

"Apabila ada seorang pelajar berisiko tinggi duduk di sebuah sekolah, ini akan menyusahkan semua guru dan pelajar-pelajar yang lain," kata Ahmad Razif.

Katanya pihak polis telah memberikan taklimat kepada kerajaan negeri dan juga Jabatan Pelajaran mengenai sekolah-sekolah yang berisiko tinggi di Terengganu.

-- BERNAMA"

Ulasan Blogger - Ingat lah Pesanan Saidina Umar Alkhatab r.a
" Kamu Satu Kaum Yang Dimuliakan dengan Islam dan Kamu Akan
Di Hina Bila Kamu Meninggalkan Islam dan Memilih Cara Hidup
Yang Lain" Fikirkan Lah Wahai Manusia