Khamis, 26 Mei 2011

Bersih tambah 2 tuntutan lagi

BUKIT MERTAJAM, 26 Mei: AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) berkata, pihak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) menambah dua lagi tuntutan iaitu masa berkempen dan perbelanjaan pilihan raya termasuk penyelewengan penggunaan harta kerajaan.

Ini, katanya menjadikan kesemuanya enam tuntutan menjelang Perhimpunan Bersih 2 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Masa berkempen 10 hari sebagaimana hari ini, tambahnya, tidak sesuai kerana menghadkan kebebasan parti terutamanya Pakatan Rakyat untuk menerangkan keseluruhan mesej yang ingin dibawa demi kebaikan rakyat.

Tegasnya, Bersih meminta sekurang-kurangnya tiga minggu kerana masa tersebut boleh digunakan sebaik mungkin menyalurkan maklumat kepada rakyat akar umbi.

"Bersih menambah dua lagi tuntutan menjadikan enam kesemuanya. Kita akan pastikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) akur dengan kehendak tersebut, " jelasnya ketika ditanya selepas menyampaikan ceramah di sini semalam.

Katanya, satu lagi tuntutan ialah mahu memastikan tidak lagi berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan setiap kali pilihan raya diadakan.

Malaysia terangnya, ketinggalan jauh di belakang negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand berkaitan pilihan raya kerana masih menggunakan kaedah lapuk untuk menyelamatkan kerusi BN daripada tumpas kepada pembangkang.

"Di Singapura sendiri dah pun matang di mana siaran TV memberi ruang sebebas-bebasnya kepada semua pimpinan parti bertanding bersuara. Begitu juga di Thailand memberi masa dua bulan kepada semua parti berkempen menceritakan manifesto.

“Kalau di Malaysia hanya muka Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya sahaja bercakap menerangkan konsep kerajaan. Pembangkang ditindas dari terus bersuara," jelas beliau.

Empat tuntutan yang pernah dibawa oleh Bersih pada perhimpunan pertama ialah mendaftar pengundi automatik, penggunaan dakwat kekal, penghapusan undi pos dan kebebasan media.


Read More

Ahad, 22 Mei 2011

Himpunan BERSIH kedua, 9 Julai 2011

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Himpunan 'Bersih 2.0' seperti yang dirancang sebelum ini telah diputuskan untuk diadakan pada 9 Julai akan datang di Kuala Lumpur.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Mohammad Sabu dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS petang ini.

"Tujuannya sama dengan tujuan himpunan Bersih 1 yang lalu iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami dari PAS bersetuju dan akan menghantar 100 ribu ahli untuk himpunan itu," katanya.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini.

Himpunan dengan nama 'Walk for Democracy' itu katanya akan bermula jam 2 petang.

Bagaimanapun ujarnya, tempat, warna tema dan mekanisme himpunan itu akan diperincikan pihak Bersih sendiri yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreneevasan dalam masa terdekat.

"Kita dari PAS memberi jaminan bahawa himpunan tersebut akan berlangsung dengan aman seperti himpunan Bersih lalu jika tanpa provokasi pihak polis,"katanya.

Turut serta pada sidang media itu, AJK Bersih 2.0 Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad.

Himpunan Bersih pertama telah diadakan pada 10 November 2007 lalu dengan kehadiran lebih 100 ribu rakyat berarak menuju ke Istana Negara bagi mengiringi penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

Mereka mendesak empat perkara termasuk penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

Ianya diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke 12 yang berlangsung Mac tahun berikutnya.

Bagaimanapun kali ini kata Mohamad, dua lagi tuntutan ditambah iaitu penyalahgunaan institusi kerajaan secara berleluasa, dan menuntut tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan.

PAS katanya lagi memandang serius ketempangan demokrasi pilihan raya dan tidak mahu kejadian di Timur Tengah berulang iaitu menggunakan jalan raya untuk menukar kerajaan.

"Kita yakin dengan pilihan raya, tetapi bairlah adil dan saksama.

"Kita lihat penyalahgunaan jentera kerajaan berleluasa sehingga rakyat tidak tahu mana satu parti politik, mana satu kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Dr Hatta pula berkata, himpunan kali ini dibuat memandangkan empat tuntutan Bersih sebelum ini langsung tidak dilayan oleh kerajaan.

Ianya termasuk isu undi pos yang dakwanya bukan diselesaikan, tetapi lebih dikusutkan.

Sekurang-kurangnya 62 Badan Bukan Kerajaan NGO akan turut serta dalam himpunan itu nanti.

"Kita bagi pihak PAS akan memanfaatkan himpunan di Muktamar nanti untuk menggerakkan mobilisasi rakyat," katanya.(hrkhdaily)


Read More

Rabu, 18 Mei 2011

Kibaran Bendera-Bendera Pas Di Stadium Bola, Suatu Mesej Kepada Mat Said

Oleh: BekokCobbong

"16 Mei 2011, aku tidak melepaskan peluang turun ke stadium menyaksikan separuh akhir piala FA Terengganu melawan Pahang. Perlawanan separuh akhir kedua ini turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Mat Said. Berbekalkan modal kemenangan 3-2 di stadium Darul Makmur tempohari, ironinya Terengganu tidak bermain bertahan, sebaliknya bertalu-talu menyerang Pahang.


Akhirnya dengan kesungguhan yang ditunjukkan serta taktikal Haji Irfan Bakti yang cemerlang, pasukan Terengganu menang 2 -0 dalam pertembungan itu, bermakna secara aggregat Terengganu menang 5-2. Terengganu akan bertemu Kelantan dalam perlawanan akhir pada 11 Jun di Stadium Shah Alam. Sungguh menarik kerana suatu sejarah tercipta, perlawanan akhir antara dua pasukan pantai timur, local derby.

Suasana di stadium memang dahsyat dan gegak gempita.Masa mula-mula aku sampai parking penuh sampai ke atas jalan di sekitar pintu masuk bersebelahan Wisma Darul Iman. Penonton berduyun-duyun. Tempat duduk penuh.Aku tak nampak jika ada tempat duduk yang kosong.Semua penuh.Munasabahlah dalam berita kata tiket sold-out.Di anggarkan penonton dalam 15,000 orang.Tak campur lagi geng-geng pemanjat tembok tepi dan belakang stadium yang menggadai nyawa ‘kabbat’ untuk masuk free.Ramai juga yang tak dapat masuk stadium.

Dalam kesesakan dan suasana lautan manusia tu, suatu pengumuman dibuat oleh DJ stadium meminta penyokong-penyokong hanya mengibarkan bendera dengan tangan, jangan kibar bendera dengan kayu atau yang ada kayu.Maybe atas faktor keselamatan.Member sebelah aku berbisik,”Pelik.,,pasal apa masa masuk tadi pengawal yang jaga pintu masuk tak halang diorang bawak bendera yang berkayu tu”.Betul jugak, kenapa baru nak buat pengumuman time orang dah masuk dan memenuhi stadium.

Di tengah lautan kibaran bendera itu, mata aku menangkap kibaran bendera-bendera Pas di beberapa sudut dalam stadium selain kibaran bendera Palestin dan sudah tentu, kibaran bendera-bendera negeri Terengganu. Suatu pemandangan yang menarik dan mengujakan bagi aku (walaupun sebelum ni dah pernah tengok kibaran seperti ini)

Aku tulis ‘kibaran’ dalam bentuk jamak (bukan Wan Jamak) iaitu “kibaran-kibaran” bendera untuk menunjukkan memang banyak kelihatan dan kedapatan bendera-bendera Pas yang di kibar megah di dalam stadium.Memang nyata dan jelas.Tidak tenggelam oleh gerombolan lautan manusia di stadium.Mintak maap ya, tidak ternampak pulak aku bendera dacing.

Bila aku tulis begini, mungkin ada yang akan pertikai, mana boleh dan mana sesuai bawak bendera lambang parti politik ke dalam stadium.Itu aku tak nak argue.Itu isu lain.Aku cuma nak ulas, kibaran bendera-bendera Pas yang sekian banyak di stadium itu mungkin menunjukkan tahap dan darjah sokongan dan kecenderungan politik rakyat Terengganu sekarang banyak ke arah mana.Kebanyakan yang mari tengok bola tu generasi muda.Jika ia ibarat termometer bagi mengukur tahap merkuri raksa, atau skala richter bagi mengukur kekuatan gempabumi, aku rasa Mat Said yang duduk di tempat berbumbung VIP perlu berhati-hati.Ia suatu mesej kepada Mat Said bahawa rakyat Terengganu bukan sahaja mengharap kemenangan pasukan bola Terengganu tetapi InsyaAllah kemenangan parti Pas di Terengganu dalam PRU13 nanti.Rakyat sudah bosan dengan kebejatan dan bencana hidup bikinan BN – kenaikan harga minyak, gula, royalti minyak, isu fitnah, video seks, sumpah laknat, liwat,isu pemimpin BN yang suka bercakap ‘lebong’,isu rasuah dan sebagainya.

Kibar Bendera Pas Berkibar,

Kibar Biar Bergetar, Kibar Biar Bergegar,

Biar BN Gentar, Biar BN Bubar,

Biar Islam Tersebar, Biar Islam Jadi Mekar!

TAKBIR!!!


Read More

Ahad, 1 Mei 2011

Muktamar DPPNT 2011

"Kuala Terengganu, 30 April 2011 : Sempena hari terakhir bulan April ini Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu telah berkesempatan untuk mengadakan Muktamar tahunan yang di adakan di Markas Tarbiyah Pas Kuala Terengganu. Program yang bermula pada jam 9.30 pagi telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas YB. Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Sebelum itu YB. Ustaz telah diiringi oleh kira-kira 40 buah motosikal ke tempat program. Turut hadir pada muktamar tersebut ialah Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ustaz Abu Bakar Chik, Mohd Suhaimi Embong dan beberapa orang lagi tetamu jemputan.

Dalam ucapan perasmian tersebut Ustaz Nasharudin mengingatkan semua pemuda yang hadir supaya mengambil semangat revolusi-revolusi yang sedang dan telah berlaku di timur tengah. Pemuda mestilah berada di barisan depan revolusi ini.

Hadirin yang hadir hampir 400 orang, memenuhi dewan besar Markas Tarbiyyah. Perbahasan yang diadakan adalah agak panas tetapi masih agak terkawal. Satu usul telah diterima dengan bahas, satu usul diterima tanpa bahas dan satu usul telah ditolak. Usul yang diterima dengan bahas adalah usul dari DPPK Marang iaitu untuk menubuhkan satu Lajnah ARC. Usul tersebut diterima dengan sedikit pindaan iaitu akan dijadikan Jabatan, iaitu Jabatan ARC.

Berikut disenaraikan sebahagian jawatankuasa yang telah terpilih :

Ketua : Ust. Mohd Nor Hamzah
Timb. Ketua : Ust. Ridzuan Hashim
Naib Ketua : Ust. Kamaruzaman Abdullah
Setiausaha : Ust. Wan Faizol Wan Abbas
Ketua Penerangan : Ust. Sheikh Hanafi Abdul Aziz."

Ulasan Blogger - Habis Lima2 Jawatan di atas dimenangi
oleh golongan ustaz-Ustaz.. Mana Golongan Profesional
dan Lainnya? Inilah kelemahan utama PAS Terengganu
yang memerlukan Transformasi untuk mencapai kejayaan
gemilang di dalam PRU ke 13. . Renungkanlah......


Read More

Selasa, 26 April 2011

Pelancaran Gerak Kerja Pilihanraya Pemuda PAS Kuala Terengganu

Kuala Terengganu - Bertempat di Markaz Tarbiah PAS Kuala
Terengganu, Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu dengan
jayanya telah melancarkan Gerak Kerja Pilihanraya Pemuda
PAS Kuala Terengganu yang di rasmikan oleh Yang Di Pertua
PAS Kuala Terengganu yang juga merangkap Ahli Parlimen
Kuala Terengganu.

Program yang julung kali di adakan ini meriah dengan
pemuda-pemuda dari 4 DUN iaitu Dun Batu Buruk, Dun Ladang,
Dun Wakaf Mempelam dan Dun Bandar.

Program ini penting dalam memperkasakan jentera pemuda
sebagai pemangkin utama kebangkitan Rakyat Negeri
Terengganu untuk memimpin perubahan dan membawa negeri
Terengganu sebagai negeri yang diberkati dan beriman.


Read More

Ahad, 10 April 2011

PRN Sarawak: PAS arah solat hajat Khamis ini

KUCHING, 10 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar mengadakan solat hajat memohon agar kemenangan memihak kepada calon-calon PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, mereka mengarahkan agar solat hajat ini didirikan secara berkelompok atau bersaorangan pada 14 April ini iaitu hari Khamis malam Jumaat.

"Semua ahli PAS diarah menunaikan solat hajat ini dan memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan kepada calon PAS dalam pilihan raya Sarawak ini. Sebaik-baiknya ia diadakan selepas solat Isyak," kata beliau kepada Harakahdaily.

Lima calon PAS bersama calon PKR dan DAP sedang menghadapi pilihan raya negeri Sarawak sekarang.

Calon-calon PAS yang bertanding adalah Adam Ahid (Sebuyau), Abang Ahmad Kardee (Beting Maro), Abang Eddy (Sadong Jaya), Noraini Hamzah (Muara Tuang) dan Nani Shaari (Tanjung Datu).

PAS mensasarkan untuk membuat pencapaian terbaik dalam pilihan raya Sarawak kali ini iaitu sekurang-kurangnya menghantar seorang wakilnya ke DUN Sarawak.


Read More

Rabu, 6 April 2011

HIMPUNAN MUSLIMAT NEGERI TERENGGANU


Read More