SETIU - Krisis dalaman Umno diramal semakin parah berikutan perkembangan terbaru tindakan ADUN Umno/BN memboikot Majlis Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yassin di Hulu Terengganu baru-baru ini.
Oleh itu, ramai pihak yakin, Barisan Nasional (BN) akan menjadi pembangkang di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya krisis kepimpinan melibatkan wakil rakyat BN berterusan dan tidak selesai.
”Dan kita ingat dia (BN) dapat selesai masalah dia selepas pilihanraya ke 13, InsyaAllah,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah pada Majlis Iftar kawasan Setiu di Jabi, dekat sini petang semalam.
Walau Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada ADUN Umno yang melompat parti samada kepada PAS ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).
”Setakat ini belum ada, mana-mana pihak yang melompat parti, kita pun tak tahu nak melompat ke mana, ada berita-berita sahaja,”ujarnya ketika ditanya berkaitan perkara tersebut.
Berkaitan persiapan PAS menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, beliau berkata, PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat politik bagi membincangkan perkara itu esok 7 September di Kuala Lumpur.
”Esok mesyuarat politik di Kuala Lumpur, jadi, saya tidak mahu jawab lagi,”katanya ringkas. Sebelum itu, beliau berkata, masalah dadah yang banyak dan mudah didapati dalam Negara kita adalah kerana adanya rasuah.
Beliau mengulas kisah seorang sahabat RasuluLlah SAW, Suhaib ArRumi yang dapat melepaskan diri keluar dari Mekah apabila disekat oleh orang-orang kafir Quraisy.
Katanya, Suhaib telah menyerahkan kunci tempat simpanan hartanya kepada orang-orang Quraist tersebut, lalu beliau dilepaskan untuk berhijrah ke Madinah.
”Yang kata banyak-banyak dadah ada dalam Malaysia ini pasal apa, dia masuk kut mana, nak kata jatuh darti atas langit tidak munasabah,
”sempadan negara ada belaka kastam, di darat ada, di udara ada, udara tu dia masuk ikut lapangan terbang, ada kastam, tapi yang terlepas pasal apa,”takut ada lagi saki baki (seperti orang yang menyekat Suhaib ar-Rumi),”katanya.
Turut hadir dalam Majlis Iftar Peringkat Kawasan Setiu semalam adalah Yang Dipertua PAS Setiu Ustaz Mohd Pauzi Muda, Setiausaha Aminuddin Umat dan Ketua Penerangan Dr Azman Ibrahim.