KUALA LUMPUR, 6 Nov: Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran bahawa hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat yang turun di Perlis, Kedah, Perak Utara, dan Pahang sejak semalam dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
Kawasan-kawasan di Perlis dan Kedah yang terbabit adalah di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Sik dan Pendang, Baling, Perak Utara (daerah Hulu Perak) manakala Pahang di daerah Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin.
Bernama melaporkan, keadaan itu dijangka menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di tebing-tebing sungai, menurut kenyataan jabatan itu.
Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berterusan sehingga esok di kawasan perairan Samui, Condore, Reef North dan Layang-Layang.
Keadaan itu menyebabkan angin kencang timur laut sehingga mencecah 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dan berbahaya kepada semua kegiatan perkapalan dan kegiatan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Semalam, jabatan itu melaporkan Kelantan dan Terengganu turut menghadapi situasi yang sama sejak beberapa hari lepas dan dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
Sementara itu,banjir yang melanda Terengganu semakin buruk dengan sejumlah 1,331 orang daripada empat daerah dipindahkan sehingga jam 5 petang tadi.
Empat daerah terbabit ialah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.Turut dilaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menyediakan 327 pusat pemindahan banjir. Jurucakap majlis itu pusat pemindahan banjir terbabit boleh menampung sehingga 48,039 mangsa banjir di seluruh Terengganu.
"Kita tidak menjangkakan sebarang masalah daripada segi penempatan mangsa banjir dan daripada segi lojistik termasuk makanan serta keperluan mereka kerana persediaan dibuat dari awal lagi dan mendapat kerjasama 19 agensi kerajaan," katanya.