KOTA BHARU, 1 Nov: PAS tidak pernah mengadaikan prinsip perjuangan biar pun berkawan dengan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ia berbeza jauh berbanding cara Umno berkawan dengan parti-parti bukan Melayu dalam gabungan Barisan Nasional (BN).
"Kita berkawan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi sama-sama menentang kezaliman yang berlaku dalam negara dan sama-sama berusaha menegakkan keadilan untuk rakyat," kata Abdul Hadi.
"Sedangkan Umno berkawan dengan parti-parti bukan Melayu dalam komponen BN sehingga sanggup mengadaikan prinsip perjuangan asal mereka," kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada ceramah sempena ulangtahun Pasti ke-25 di Dataran Warisan, perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini, malam semalam.
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno mendakwa PAS mengikut telunjuk DAP dalam Pakatan Rakyat sehingga sanggup mengadai prinsip perjuangan asal parti itu.
Sambutan ulangtahun ke-25 Pasti diadakan di sini selama dua hari dan berakhir petang semalam.
Ribuan orang ramai hadir mengikuti ceramah tersebut biar pun pada awal malam hujan turun dengan lebatnya di Kota Bharu.
Hadir sama pada ceramah tersebut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.
Presiden PAS berkata, pendekatan yang digunakan PAS berkawan dengan DAP mengikut kaedah tahaluf siasi.
"Sebab itulah sekarang pemimpin DAP mudah yakin kepada PAS kerana kaedah berpolitik yang diamalkan mementingkan soal dosa dan pahala," tegasnya.
"Dengan kefahaman dosa dan pahalalah yang menyebabkan PAS mampu bertahan lama kerana tidak mudah menjual prinsip perjuangan," ujar Abdul Hadi.
"Contoh yang dapat dilihat di Kelantan apabila kerajaan PAS pada penggal lalu hanya memerintah dengan kelebihan satu kerusi sahaja, namun pemimpinnya istiqamah," kata presiden PAS.
Pada penggal lalu PAS mempunyai 23 Adun, manakala BN memenangi 22 kerusi di Kelantan. Biar pun kedudukan begitu genting namun Adun PAS menolak segala tawaran melompat parti.
Nizar dalam ceramahnya pula memberitahu ketika Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak pada persidangan Dun baru-baru ini, Menteri Besar BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sudah selesai membentang bajetnya.
Katanya, Adun Pakatan Rakyat sengaja diperlambatkan memasuki Dewan dengan pemeriksaan ketat anggota polis di dua tempat berasingan.
Menurut beliau anggota polis yang bertugas di dua check point tersebut merampas kamera, komputer riba dan telefon bimbit yang dibawa Adun Pakatan Rakyat.
"Ketika kami sampai ke dalam dewan Speaker Dun BN, Datuk R Ganesan telah menangguhkan persidangan," katanya.