Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan 'berpatah arang' dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka. Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa.
Imam Syafi'i misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafi'i masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?
Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafi'i berkata, "Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!"
Demikian 'orang tua' yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati.
Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafi'i tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat "pengingat " seperti beliau, sebaliknya sibuk mencari tongkat "penggiat" - Tongkat Ali