- PAS terus bersama PR
"Seminar politik memperkasakan parti" yang diadakan pada 7 November boleh menjadi detik sejarah yang penting untuk PAS, khususnya dilihat dalam konteks politik Malaysia, tetapi tidak mendapat liputan yang luas dalam media cetak bahasa Cina.
Sebaliknya, akhbar Cina lebih berminat terhadap Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua MCA, lantaran pergelutan parti itu yang belum selesai.
Antara media cetak bahasa Cina, Sin Chew Daily memberi liputan yang paling luas (secara perbandingan) untuk laporan seminar politik PAS. Malah, isu ini disentuh dalam kolum dan ruang lidah pengarangnya pada 9 November. Selain itu, komen terhadap seminar PAS boleh didapati di Nanyang Siang Pau, sementara media cetak Cina selainnya tidak/belum mendalami isu ini dalam bentuk analisa ataupun komen.
Kesemua media cetak Cina menonjolkan "PAS terus bersama Pakatan Rakyat" sebagai tajuk laporan utama pada 8 November. Kandungan laporan merangkumi pandangan kedua-dua orang ahli panel yang berlatar-belakangkan akademik, selain reaksi perwakilan yang menyelar Profesor Abdul Aziz Bari.
Sinchew Daily
Muka surat ketiga Sinchew Daily pada 8 November disarat hampir penuh dengan laporan seminar politik PAS, bertajukkan "Tiada rundingan kerjasama dengan UMNO lagi". Selain ucapan Presiden PAS, pembentangan survey oleh Profesor Abu Hassan Hasbullah yang menunjukkan penurunan sokongan terhadap PAS, khususnya terhadap pimpinan Hadi Awang, juga dijadikan tumpuan.
Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily, Tay Tian Yan dalam kolumnya pada 9 November yang bertajuk "Pak Lah versi PAS", membandingkan Hadi Awang dengan bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadzil bin Mohd Noor. Tay menuduh Hadi Awang tidak menunjukkan prestasi, berdasarkan kenyataan bahawa PAS Terengganu yang dipimpininya telah kehilangan kerajaan negeri, sehingga "tsunami politik" pun gagal menyelamatkannya.
Tay menulis, "Hadi Awang tidak memahami masalah PAS, malah nampaknya lebih tidak memahami dirinya. Beliau hanya menggunakan logik yang mudah, iaitu pertandingan bola sepak baru masuk separuh, mana boleh ketua pasukannya ditukar?"
"Teruknya, beliau tidak tahu pun peraturan asas dalam bola sepak. Di gelanggang, seandainya prestasi ketua pasukan tidak baik, apa yang dilakukan terlebih dahulu adalah menukarkannya. Kalau tidak, satu pasukan akan dibebankan olehnya... "tambah Tay.
Lawan PAS bukan lagi Pak Lah
Walau bagaimanapun, Tay menganggap Hadi bukannya jahat, cuma Hadi lebih sebagai ulamak daripada seorang pemimpin politik. "Beliau mengurung dirinya dalam suasana politik yang lama, bermundar-mandir antara ideologi keagamaan dan kemelayuan yang konservatif, dan gagal mengatasinya... Sehingga tsunami politik gagal melambungkannya ke puncak, lebih-lebih lagi, beliau dipengaruhi orang di sisinya yang membataskan perspektifnya."
Tay menyimpul, "(Gelaran) 'Pak Lah versi PAS' amatlah sesuai untuknya (Hadi). Persoalannya, lawan PAS kini bukan lagi Pak lah, tetapi Najib yang lebih cerdik".
Sementara itu, Lidah Pengarang Sinchew Daily pada 9 November yang bertajukkan "PAS perlu menghadapi realiti politik", menulis "...melihat kepada iklim politik selepas PRU Mac tahun lalu, PAS tidak ada lagi pilihan. Seandainya PAS ingin melakukan sesuatu dalam gelanggang politik Malaysia, maka ia perlu mengambil pendirian Islam yang sederhana, mengubal dasar yang lebih memperlihatkan keterbukaan. Amalan Islam Fundamentalist tidak menguntungkan PAS."
Malah, lidah pengarang ini menyimpulkan bahawa PAS, bahkan PR perlu berhenti mengungkit isu yang sensitif dan emosi, menghormati kemajmukan, mempertingkatkan kemampuan pentadbiran, bersaing secara sihat dengan BN untuk memanfaatkan rakyat.
Nanyang Siang Pau
Nanyang Siang Pau pula membubuh tajuk "Hadi: Idealisme perjuangan tidak diketepikan, PAS terus bersama PR" dalam laporannya pada 8 November, di muka surat A7.
Walau bagaimanapun, Nanyang Siang Pau mengikuti perkembangan isu ini pada 9 November dengan satu temuramah bersama Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang mendakwa "tiada lagi rundingan antara PAS dengan UMNO", dan hubungan pemimpin PAS kini semakin rapat.
Dalam satu analisa berjudul "Dua aliran dijangka membuka gelanggang baru" yang disiarkan pada muka surat A10, menganggap "pendamaian" ini hanya bersifat sementara, dan kedua-dua aliran ini dijangka bakal membuka gelanggang baru.
"Pertentangan antara dua aliran ini wujud dari segi idealisme mentadbir negara dan pengagihan kuasa dalam parti. Punca yang menjurus kepada keretakan ini adalah 'rundingan antara PAS-UMNO'."
Analisa ini melihat isu "kerajaan perpaduan" dibangkitkan pada zaman pemerintahan Najib hanya sebagai "pertimbangan strategi politik", memberi amaran agar golongan profesional dalam parti tidak terlalu cenderung kepada Anwar Ibrahim, di samping mengingatkan kedua-dua rakan sekutu PR agar jangan memperlekehkan kedudukan dan pengaruh PAS.
"Apa yang menarik selepas ini adalah, selepas menggugurkan strategi 'kerajaan campuran' ini, apakah pula strategi aliran 'ulamak' yang diketuai Hadi Awang untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruh dalam parti," simpulnya.
China Press
Tiada ulasan selanjutnya mengenai seminar politik PAS di China Press, setelah laporan pada 8 November di muka surat A19.
Lebih setengah muka surat diperuntukkan untuk seminar politik PAS pada 8 November, dengan tajuk utama berbunyi, "Hadi Awang: Bersama PR-- PAS tidak bekerjasama dengan UMNO".
Apa yang menarik ialah tajuk kecilnya, misalnya "Tuduhan 'Pak Lah versi PAS', Penceramah dikritik perwakilan" (merujuk kepada Abdul Aziz), "Tidak puas hati kerana kesetiaan dipertikai, Perwakilan bidas rakan sekutu PR" (merujuk kepada perwakilan Wilayah Persekutuan),
"Hadi:Membawa perubahan untuk rakyat, terus berjuang bersama PR", "Hadi: Tidak letak jawatan biarpun dikritik", "Melenting kerana kritikan umpama orang primitif" (merujuk hujah Abu Hassan Hasbullah), "Masuk PR: Cakap tak serupa bikin" (merujuk kepada hujah Abdul Aziz Bari), "Abdul Aziz: PAS gagal jadi alternatif jika tidak menerima bukan muslim", "Hu Pang Chaw: Tidak pernah Melayu berpecah belah."
Oriental Daily dan Kwong Wah Yit Poh
Oriental Daily memperuntukkan keseluruhan muka surat A9 (tabloid) pada 8 November untuk laporan Seminar Politik PAS, dengan tajuk utama "Hadi menjaminkan peranan yang aktif, PAS tidak akan meninggalkan PR". Selain itu, wujud juga laporan yang bertajukkan "Penyokong Hadi bidas penceramah", dan "Profesor tegur PAS untuk menerima masyarakat bukan Islam." Tiada analisa disusuli pada hari berikutnya.
Kwong Wah Yit Poh yang berpusat di Pulau Pinang pula hanya melaporkan seminar ini pada 8 November, di muka surat A19, dengan tajuk "Hadi: Memimpin perubahan, PAS terus bersama PR".
*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 8 dan 9 November 2009, berkisar pada Seminar Politik Memperkasakan Parti, PAS.
Sumber http://www.buletinonline.net