Isnin, 25 Januari 2010

Minta maaf tidak cukup, Aduka Taruna perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah (DPPWP) bersetuju dengan pandangan Pemuda PAS Johor agar polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat blog yang menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Tulisan dalam blog Adukantaruna.blogspot.com berkenaan Almarhum Sultan adalah biadap dan tidak menunjukan sikap sebagai orang yang berakhlak. Artikelnya yang bertajuk “Dah mampos buat cara mampos la" jelas membuat penyataan yang menghina.

Sebelum ini Aduka Taruna juga pernah menghina ulama mahzab dan juga isteri Rasulullah saw, Aisyah.

"DPPWP berpandangan bahawa tahap kebiadapan Aduka Taruna amat melampau dan beliau langsung tidak sensitif terhadap perasaan rakyat dan umat Islam. Keegoan beliau perlulah disiasat sebagai memperbetulkan fikrah yang kian tersesat," kata Herman Shamsudin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Bagi Herman, Jakim juga perlu bertindak dalam hal ini kerana minta maaf sahaja tidak cukup untung melangsaikan hutang kebiadapan dan fikrah yang mengarut Aduka Taruna.

"DPPWP tidak menolak kebebasan bersuara, tetapi kita perlu tegas dalam menghadapi kelakuan yang biadap oleh seorang blogger yang menghina ulama, keluarga Rasulullah dan Sultan. DPPWP menolak penggunaan ISA kerana perbuatan ini perlulah diselesaikan mengikut kaedah perundangan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyuataan.

Sehubungan itu, DPPWP mengingatkan agar para blogger dan rakyat keseluruhannya agar tidak menimbulkan isu-isu yang boleh menghina Allah, Islam, Rasulullah dan keluarganya serta sultan-sultan yang memerintah di negara ini.

Isu-isu berkaitan dengan agama, bangsa dan kesultanan merupakan perkara sensitif yang perlu dibincangkan secara bijak dan berilmu, bukannya mengikut hawa nafsu, tambah beliau.