Selasa, 5 Januari 2010

Perkataan “Allah” Boleh Digunakan Oleh Agama Samawi – Presiden PAS

-Keputusan dibuat berdasarkan ayat 64 surah ali-Imran

KUALA LUMPUR - PAS mengambil pendirian dan menegaskan bahawa perkataan “Allah” boleh digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.Bagaimanapun PAS menegaskan, penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan, agar ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

Pendirian PAS tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Lajnah Politik yang diadakan di sini semalam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik, Herald pada Khamis lalu.

Perbincangan yang dihadiri oleh 25 ahli itu dipengerusikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan dua orang Naib Presiden, Salahuddin Ayub serta Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat tersebut telah bermula pada jam 9 malam berakhir pada 11.45 malam
“PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

“Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad.

Ustaz Abdul Hadi menambah, PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yabg boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

Oleh itu katanya, PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden PAS;

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

Pas dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.