BAGAN PINANG, 10 Oktober: Para pengundi Bagan Pinang mesti bangkit sebagai pahlawan-pahlawan penentang rasuah dengan menolak calon Barisan Naional (BN) Tan Sri Mohd isa Abdul Samad yang dihukum kerana politik wang, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu.
"Para pengundi Bagan Pinang akan dicatat oleh sejarah jika mereka bangkit menyelamatkan masa depan politik negara dari pemimpin yang bersalah kerana politik wang yang merupakan rasuah paling bahaya kerana ia melibatkan pemilihan kepimpinan," kata beliau.
Sambil menyifatkan hari pengundian di Bagan Pinang esok sebagai peluang untuk berjihad memerangi rasuah, Mohamad berkata setiap undi menolak calon yang didapati bersalah kerana politik wang adalah sumbangan yang amat besar kepada negara dan masa depannya.
"Hari pengundian esok adalah peluang untuk melaksanakan mar ma'ruf nahi munkar dan para pengundi Bagan Pinang mesti mengambil peluang itu untuk berjihad memerangai rasuah.
"Bila kita sebut jihad, ia bermakna mereka mengambil peluang pada hari pengundian esok untuk menolak calon Barisan Nasional (BN) yang terlibat dengan politik wang dan memilih calon yang bersih dari disabitkan dengan kesalahan rasuah dan politik wang," katanya.
Beliau menyeru pada pengundi muda di Bagan Pinang yang tinggal di perantauan seperti di Kuala Lumpur supaya balik untuk mengundi menentang rasuah dan membantu ibu bapa, saudara mara dan rakan kenalan mereka untuk melakukan perkara yang sama.
"Anak-anak Bagan Pinang di perantauan kali ini berpeluang mengulangi apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka di Kelantan yang pulang beramai-ramai untuk mengundi menolak BN seperti yang berlaku dalam tahun 1999 dan tahun 2008.
"Di Bagan Pinang, ada orang yang dituduh menjadi maskot rasuah. Inilah peluang mereka untuk menolak siapa saja yang dituduh menjadi maskot rasuah," katanya.
Mohamad yakin, anak-anak muda d Bagan Pinang tidak sanggup diwakili oleh sesiapa sahaja yang dituduh sebagai maskot rasuah.Isa digantung keahliannya dalam Umno pada tahun 2005 lalu kerana didapati bersalah terlibat dengan politik wang.
Beliau sebelum itu adalah Naib Presiden Umno yang menang dengan undi tertinggi pada pemilihan parti itu dalam tahun 2004. Dalam pilihan raya Bagan Pinang, beliau menentang calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Omar.