HULU TERENGGANU – Dalam tempoh lebih kurang 24 jam sahaja lagi, tidak kurang 5,000 ahli PAS dari seluruh cawangan-cawangan di negeri Terengganu akan berhimpun di Kolej Ugama Darul Quran Islamiyyah, disini, untuk menyertai Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu.
Persiapan tempat adalah satu tugas yang paling mencabar, bagi menyiapkan semua infrastruktur berkaitan, memastikan perjalanan Ijtimak tidak tergendala.
Ketua bagi tugas berat tersebut pada kali ini diamanahkan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Hulu Terenggannu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah.
Beliau yang ditemui Buletinonline semalam menyatakan rasa syukurnya kepada Allah kerana segala persiapan bagi menyambut para perwakilan, tetamu dan pemerhati Ijtimak kali ini sudah mencapai 90 peratus.
”AlhamduliLlah, semua infrastruktur utama seperti pentas, tempat para perwakilan, tandas, ruang gerai dan ruang parkir, secara umunya sudah beres,
”tinggal lagi sikit-sikit, InsyaAllah menjelang malam esok, akan selesai,”katanya.
Tiga belas tahun yang silam, PAS Terengganu mengorak langkah, menjadi negeri pertama yang mengadakan satu perhimpunan peringkat negeri.
Selain dari menjadi medan bagi mengumpulkan seluruh ahli dan para petugas PAS dari cawangan-cawangan, ia kini merupakan satu ’platform’ menilai prestasi dan menyalurkan pendapat dan pandangan.
Ijtimak Kepimpinan juga mengujudkan hubungan komunikasi dua arah, dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas, yang memantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan PAS Terengganu.