KEMAMAN, 5 Okt: Mula-mula bumbung dewan sekolah menengah runtuh. Lepas itu bumbung stadium runtuh dan kolam renang pula bocor. Kini bumbung masjid pula runtuh.
Inilah rentetan peristiwa yang berlaku di Terengganu yang kaya dengan wang royalti minyak ini.
Ekoran itu, para pemimpin PAS meminta rakyat Terengganu memberi perhatian dan menilai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri berikutan keruntuhan demi keruntuhyan ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Haji Ismail berkata, sama ada projek pembangunan itu untuk kepentingan rakyat atau kebanggaan kerajaan negeri, beberapa insiden yang berlaku sejak mutakhir ini sepatutnya membuka minda rakyat.
Katanya, rakyat perlu lebih peka terhadap projek-projek pembangunan adakah untuk kepentingan rakyat atau suku sakat pemimpin tertentu mengaut keuntungan peribadi.
Tambahnya, apa yang mendukacitakan, pembangunan yang diuar-uarkan oleh kerajaan BN negeri itu ada di antaranya bukan sahaja membazir tetapi membahayakan nyawa manusia.
�Apa yang berlaku seperti bumbung Masjid Kampung Batu Putih yang runtuh ini sewajarnya diberikan perhatian serius oleh rakyat negeri ini,� ujarnya ketika ditemui semasa melawat masjid berkenaan, petang semalam.
Bumbung masjid yang berharga RM2.1 juta itu runtuh kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu dalam suasana cuaca baik tanpa ribut atau gempa bumi, menyebabkan tiga pekerja warga Indonesia yang sedang membaikinya cedera, seorang daripadanya parah.
Harakahdaily difahamkan, kerosakan di beberapa bahagian masjid itu termasuk bumbung dan siling telah dikesan sejak ia mula digunakan November tahun lalu tetapi aduan penduduk tidak diberikan perhatian oleh pihak berkenaan.
Bekas Adun Air Putih itu berkata, banyak projek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan BN terutama pada penggal lepas sebenarnya lebih mengutamakan kroni daripada kepentingan rakyat.
Tambahnya, akibat daripada sikap kontraktor kroni yang mahu mengaut keuntungan yang berlipat ganda tanpa mengikut piawaian yang sepatutnya menyebabkan berlaku kejadian bumbung stadium, dewan sekolah dan masjid runtuh, pusat akuatik retak dan seumpamanya.
Ini, ujarnya, bukan sahaja membazir wang rakyat tetapi turut mengancam nyawa manusia sekalipun secara kebetulan insiden yang berlaku itu tidak melibatkan orang ramai.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya semua projek yang telah siap perlu diperiksa secara terperinci termasuk puluhan masjid sebelum digunakan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
"Kebetulan masa bumbung stadium dan masjid ini runtuh tiada manusia, bagaimana kalau ia berlaku sewaktu orang ramai berada di situ.
"Saya dimaklumkan oleh penduduk, satu majlis akad nikah dirancang diadakan di masjid ini, masanya kira-kira sejam selepas berlaku bumbung runtuh, terpaksa dipindahkan," katanya.