Selasa, 28 Julai 2009

H1N1: Kematian ketiga di Malaysia

PUTRAJAYA: Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 42 tahun mati akibat Influenza A (H1N1) petang semalam, menjadikannya mangsa ketiga yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lelaki itu disahkan menghidap Influenza A (H1N1) Khamis lepas.

"Kes itu yang mengalami pelbagai komplikasi telah meninggal dunia pada 27 Julai jam 4.40 petang disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu dilapor tidak sihat sejak 6 Julai lepas dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di beberapa klinik dan hospital swasta.

Lelaki itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 18 Julai kerana keadaan yang semakin teruk dan didiagnosis sebagai pneumonia.

Semasa di wad beliau dikesan menghidap Diabetes Mellitus manakala x-ray dada pula menunjukkan beliau mengalami pneumonia.

"Pada 19 Julai kes dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator).

"Memandangkan keadaan kes yang semakin teruk, ujian sampel tekak diambil pada 22 Julai dan disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 23 Julai," katanya.

Liow yang kecewa dengan perkembangan itu, berkata semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

"Daripada kes ini, kita boleh lihat pesakit ini telah pergi ke beberapa klinik sejak dia tidak sihat dari 6 Julai hingga 18 Julai apabila keadaannya semakin teruk, tetapi pihak klinik masih tidak mengambil sebarang ujian H1N1.

"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital untuk sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam manamana kes yang disyaki influenza.

"Ada banyak kes yang datang dengan simptom pneumonia tetapi mereka perlu menjalani ujian sama ada ia H1N1 atau tidak. Mereka perlu mengambil langkah segera itu," katanya.

Mengenai situasi semasa Liow berkata terdapat 95 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan, semuanya adalah kes tempatan di kalangan warganegara Malaysia, iaitu 68 daripadanya merupakan kejadian dari 19 kluster baru, 22 kes dari 11 kluster sedia ada manakala lima kes lagi adalah kes-kes sporadik atau terpencil.

Beliau berkata jumlah terkumpul kes itu setakat ini meningkat kepada 1,219 kes, iaitu 574 atau 47 peratus daripadanya merupakan kes import manakala baki 645 atau 53 peratus adalah kes jangkitan tempatan.

"Daripada jumlah ini 1,198 kes atau 98 peratus telah sembuh, hanya 12 kes atau satu peratus yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan sembilan orang lagi atau satu peratus menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

Liow berkata pertambahan 19 kluster baru itu adalah satu petanda yang menunjukkan kes tempatan merebak dengan begitu cepat, sekaligus menjadikan jumlah kes tempatan lebih tinggi daripada kes import hari ini.

"Walaupun kita tidak ada penyebaran tempatan yang berterusan tapi kluster yang baru adalah petanda bahawa ia akan mula menjadi penularan dalam masyarakat, oleh itu kami di kementerian akan terus memperketatkan tindakan menghadkan pergaulan termasuk aktiviti kempen kesedaran.

"Kami kini menjalankan usaha bersepadu untuk menghentikan penularan. Saya juga menggesa pesakit yang mengalami selesema, batuk dan sakit tekak supaya segera ke klinik atau hospital dan menjalani ujian H1N1. Tolonglah dapatkan rawatan secepat mungkin," katanya.

Mengenai situasi global, Liow berkata sejumlah 163,715 kes dengan 1,025 kematian dilaporkan daripada 159 negara, iaitu peningkatan sebanyak 4,492 kes dengan 38 kematian berbanding hari sebelumnya