Sabtu, 18 Julai 2009

Pemuda PAS sokong tindakan berani Pemuda Gerakan

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan berani Pemuda Gerakan yang secara terbuka menyatakan sokongan serta akan turut serta dalam himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1 Ogos depan. Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Muhamad berkata, sokongan tersebut menunjukkan akta zalim tersebut turut ditentang komponen Barisan Nasional(BN).

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik yang sangat kita alu-alukan. Wakil Pemuda Gerakan telah menghubungi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta menyatakan persetujuan untuk menyertai himpunan bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta ini," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh juga menegaskan, bagi menggerakkan masyarakat menyertai perhimpunan tersebut, sekretariat Mansuh telah mengadakan siri jelajahya di seluruh negara.Katanya, selain sekretariat Mansuh, siri jelajah tersebut turut disertai beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang menyokong himpunan tersebut.

Baru-baru ini, Ketua Biro Khidmat Guaman dan Aduan Awam Pemuda Gerakan, Andy Yong menyatakan pihaknya akan menggerakkan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman Mansuh itu. Dalam kenyataannya, Yong menyatakan keputusan itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat kebangsaan Gerakan.

Beliau juga berkata parti komponen BN itu beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948