MANEK URAI, 5 Julai - Menjelang sehari sebelum hari penamaan
calon, Manek Urai semakin menjadi tumpuan apabila pertandingan
antara dua parti major di negara ini, PAS dan Umno-BN bakal
merakamkan sebuah lagi sejarah dalam landskap politik semasa.
Semakin hari, semakin ramai polis dan tentera berkampung di
Manek Urai kononnya untuk menjaga keamanan dan mengelakkan
sebarang insiden pergaduhan antara penyokong PAS dan Umno
menjelang hari penamaan calon.
Dalam tinjauan yang dibuat,kelihatan 'perkampungan Martek PDRM'
telah pun didirikan di Laloh dan semakin banyak pondok-pondok
polis dibina di sekitar Manek Urai.Di sebalik perang poster dan
bendera yang semakin rancak di kiri kanan jalan, kenderaan
polis seperti trak, kereta dan motorsikal juga semakin bertali
arus dilihat di sepanjang jalan raya menuju ke Kota Bahru.
Bilik-bilik gerakan kedua-dua belah pihak juga semakin banyak
dan aktif menjalankan mesyuarat tidak kira pagi atau petang.
Para petugas semakin giat menggantung poster dan bendera
sehingga bekerja hingga lewat malam walaupun tinggal sehari
sahaja lagi penamaan calon akan diadakan.
Bagi kebanyakan penduduk di Manek Urai, musim pilihanraya
merupakan masa yang sesuai untuk menambah pendapatan
mereka kerana pada masa inilah Manek Urai didatangi
oleh para petugas, penyokong dari kedua belah pihak dan polis.
Kedai-kedai makan, gerai buahan dan makanan tempatan seperti
lemang dan kuih akok menjadi tumpuan pengunjung dari luar
yang semakin bertambah menjelang hari penamaan calon.
Bagaimanapun, suasana dijangka menjadi semakin meriah dengan
kehadiran pelbagai pihak di Manek Urai antara tempoh kempen
penaman memandangkan pelbagai isu semasa yang membantu
merancakkan lagi perjalanan kempen pilihan raya kecil
di Manek Urai ini