Ramai rakan-rakan dari Terengganu yang saya temui semasa pilihanraya kecil Manek Urai baru-baru begitu bersemangat memberitahu sebuah kerajaan baru Terengganu akan ditubuhkan dalam jangkamasa terdekat. Seorang penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat menyebut, kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said sekarang ini memerlukan talian hayat dari Istana untuk terus mentadbir kerajaan.
Malah rasa tidak puashati dikalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap pimpinan kerajaan negeri semakin terserlah dengan tindakan 10 ADUN memboikot persidangan DUN yang lepas ekoran SMS ugutan bunuh 3 ADUN UMNO/BN. Untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Ahmad Said pun mereka tidak yakin dapat menumbangkan kerajaan sedia ada kerana 8 ADUN PAS akan menjadi penentu. Namun tuntutan sekumpulan ADUN yang memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menggantikan Menteri Besar yang ada sekarang dengan ADUN lain masih tidak diperkenankan.
Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Ahmad Said sebagai Menteri Besar sekarang. Jika beliau mampu mengembalikan semula bayaran royalty petroleum kedalam kantung kerajaan negeri, itu merupakan satu kejayaan besar selepas hamper satu dekad dinafikan haknya untuk diuruskan secara langsung oleh kerajaan negeri yang memerintah. Sepatutnya, Ahmad Said boleh mengambil pendekatan politik baru dalam menangani masalah rakyat dan penduduk Terengganu yang terkenal dengan jolokan ‘negeri kaya, rakyat miskin’.
Terengganu akan dapat tambahan kerusi pilihanraya?
Sebagai mengulas kenyataan Ketua UMNO Marang, Yahya Mohamad Khatib menjangkakan parlimen Marang akan bertambah satu atau dua kerusi sekiranya persempadanan semula kawasan pilihanraya dilakukan nanti. Sementara Ketua kawasan PAS Marang, Hj Yahaya Ali yang juga Setiausaha PAS Terengganu turut bersetuju dengan pertambahan kerusi Parlimen dan DUN sekiranya persempadanan semula kawasan pilihanraaya dapat direalisasikan.
Kali terakhir persempadanan semula kerusi pilihanraya dilakukan adalah pada tahun 2002 dan sepatutnya persempadanan baru diadakan pada tahun 2010, yakni selepas 8 tahun. Tidak dapat dipastikan sama ada persempadanan baru yang akan diadakan oleh SPR akan diterima ataupun tidak kerana kerajaan tidak menguasai majority 2/3 untuk meminda perlembagaan yang melibatkan pertambahan kerusi.
Bagi negeri Terengganu, persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2002 tersebut tidak melibatkan pertambahan kerusi. Kerusi parlimen kekal 8 dan begitu juga kerusi DUN kekal 32. Kalau tidak silap ingatan saya, kerusi pilihanraya Terengganu telah tidak bertambah sejak lebih 20 tahun kerana pada semakan persempadanan sebelumnya pada pertengahan 1980’an juga tiada pertambahan sebarang kerusi sama ada DUN ataupun parlimen.
Berdasarkan kepada senarai pemilih dalam pilihanraya umum (PRU) ke-12 lalu, jumlah pengundi Parlimen Kuala Terengganu (80,325), Kemaman (75,006), Marang (74,813), Dungun (64,851), Kuala Nerus (61,214), Besut (58,353), Setiu (54,520) dan Hulu Terengganu (52,515) dengan setiap parlimen mempunyai 4 kerrusi DUN.
Dengan jumlah pengundi keseluruhan lebih 520,000 pada pilihanraya umum ke-12 dan mungkin meningkat dengan mudah kepada 550,000 pada tahun 2010 ketika persempadanan pilihanraya diadakan. Tanpa mengambil unjuran pengundi mencecah keangka hampir 600,000 menjelang pilihanraya umum ke-13 pada tahun 2012, maka adalah wajar persempadanan semula pilihanraya pada kali ini memberikan tambahan tidak kurang dari 3 kerusi kerusi parlimen.
Kenapa saya katakan tidak kurang dari 3 kerusi parlimen perlu ditambah kerana mengambil kira dua kali persempadanan semula pilihanraya diadakan sebelum ini, sepatutnya telah ditambah 2 kerusi parlimen tetapi tidak dilakukan menyebabkan pengundi menjadi terlalu ramai sehinggakan parlimen Kuala Terengganu (80,325), Kemaman (75,006), Marang (74,813), Dungun (64,851) dan Kuala Nerus (64,851) jauh melebihi 50,000 pengundi yang sesuai untuk kerusi parlimen di kawasan-kawasan membangun.
Setelah saya melihat secara kasar taburan pengundi-pengundi yang sedia ada, maka satu kerusi parlimen tambahan di wujudkan bagi daerah Kemaman dan Dungun kerana jumlah pengundi bagi kedua-dua kawasan parlimen sedia ada mencecah 140,000 pengundi dan boleh mencapai 150,000 pengundi pada bila-bila masa.
Kemaman mempunyai 4 kerusi DUN, iaitu Chukai, Air Putih Kijal dan Kemasik. Manaka Dungun pula mempunyai 4 DUN, iaitu Paka, Sura, Rantau Abang dan Bukit Besi. Jika melihat kepada sempadan sedia ada, adalah wajar kerusi parlimen baru diadakan dengan meliputi sebahagian besar kawasan Ketengah sebagai satu lagi pusat pertumbuhan baru berpusatkan di Bukit Besi.
Satu parlimen baru dinamakan Parlimen Bukit Besi boleh diwujudkan menggabungkan kerusi DUN Kemasek, DUN Paka dan DUN Bukit Besi (boleh dijenamakan semula sebagai DUN Jerangau) sebagai asas kepada persempadanan semula kawasan parlimen yang baru ini.
Kawasan parlimen Marang dan Kuala Terengganu mempunyai kepadatan pengundi yang terlalu tinggi melebihi 150,000 pengundi sudah wajar dipecahkan kepada 3 kawasan parlimen. Kalau kita melihat kepada kawasan geographical daerah, sebahagian parlimen Marang termasuk dalam daerah Kuala Terengganu, khususnya DUN Bukit Payong dan DUN Alor Limbat.
Jika sebahagian dari dua DUN yang termasuk dalam daerah Kuala Terengganu dikeluarkan dari parlimen Marang menjadikan parlimen Marang akan tinggal hanya dua DUN sahaja, iaitu DUN Rhu Rhendang dan DUN Pengkalan Berangan. Secara logiknya DUN Pengkalan Berangan perlu dipecahkan dua kerana terlalu luas dari pantai hingga ke darat. Satu DUN Merchang perlu diwujudkan semula disebelah pantai dan pecahan disebelah darat boleh digabungkan beberapa peti undi lain untuk mewujudkan DUN wakaf Tapai.
Kerusi parlimen kedua adalah dengan menggabungkan 2 keruasi DUN dari parlimen Marang, iaitu DUN Bukit Payong dan Alor Limbat yang sebahagian peti undinya berada dalam daerah Kuala Terengganu dengan DUN Batu Burok (sekarang ini dalam parlimen Kuala Terengganu) menjadi sebuah parlimen baru. Parlimen ini boleh dinamakan Parlimen Batu BUrok, sementara kerusi DUN batu Burok ini boleh dinamakan sebagai DUN Kuala Ibai.
Sekarang kita dah dapat dua kerusi parlimen baru. Dimana satu lagi kerusi parlimen boleh diwujudkan. Setelah melihat kepada taburan pengundi baki 4 kerusi parlimen Kuala Nerus (61,214), Besut (58,353), Setiu (54,520) dan Hulu Terengganu (52,515). Dengan jumlah pengundi sebanyak hampir 220,000 satu kerusi parlimen wajar diwujudkan dengan menyusun semula kerusi-kerusi DUN yang sedia ada sebagai asasnya.
Kawasan parlimen Kuala Nerus dan Besut merupakan kawasan yang paling padat pengundi diantara yang tinggal sekarang ini. Satu kerusi yang sesuai dan berpotensi untuk diwujudkan adalah dengan menggabungkan semula kerusi DUN yang berada dalam kawasan Kuala Terengganu Utara untuk membentuk dua kerusi parlimen di sini.
Jika DUN Batu Rakit dikeluarkan dari Setiu dan DUN Manir dikeluarkan dari Hulu Terengganu kerana pada asasnya kedua-dua DUN ini sebahagaian besarnya berada dalam kawasan Kuala Terengganu Utara dan digabungkan dengan kerusi-kerusi DUN sedia ada dalam Parlimen Kuala Nerus, satu lagi tambahan kerusi parlimen wajar dibentuk.
Katalah kerusi parlimen Kuala Nerus yang baru dianjak sedikit ke utara dengan menggabungkan DUN Batu Rakit bersaama dengan Tepuh dan DUN Seberang Takir , maka satu lagi kerusi parlimen yang baru boleh dibentuk dengan menggabungkan DUN Bukit Tunggal, Telok Pasu dan Manir. Kerusi parlimen yang baru ini boleh dinamakan kerusi parlimen Manir dengan menamakan kerusi DUN Manir sebagai DUN Telok Menara, yang berdekatan dengan pecan tersebut.
Jadi ada yang bertanya, hanya kerusi parlimen sahajakah yang perlu ditambah. Sekiranya kerusi parlimen bertambah setelah lebih dua puluh tahun tidak bertambah, maka secara logiknya kerusi DUN pun ikut bertambah jugaklah.
Berapa hendak ditambah terpulanglah kepada SPR dan Kerajaan Negeri Terengganu. Seorang penganalisis politik memberitahu saya sekurang-kurangnya 7 kerusi DUN perlu ditambah menjadikannya 39 kerusi supaya ganjil.