Sabtu, 17 Oktober 2009

MASA UNTUK BERUBAH

Kuala Terengganu - Ijtimak PAS Terengganu sudah berakhir.
Semua peserta sudah berlalu pulang ke destinasi masing-masing.
Membawa impian sama. Kembalikan pemerintahan Islam di Bumi
Terengganu ini.

Merenung gerakerja dan keaktifan kita di Terengganu. Kita semakin
tertinggal sebenarnya dengan negeri-negeri lain. Dominasi
Ustaz-Ustaz dan golongan agama di negeri ini amat terasa.
PAS masih tetap di tangkuk lama. Parti lebai, parti surau
dan parti masjid. Begitu lah sinonimnya panggilan PAS disini.
Imej yang menakutkan golongan muda yang menjadi teras utama
setiap kali pilihanraya.

Dikala negeri-negeri lain telah membawa jauh PAS ke tengah-tengah
masyarakat dan amat dekat di hati rakyat. Kita masih terkial-kial di
negeri ini untuk membawa imej PAS. Terus-terang kita masih gagal
membawa imej PAS ke tengah-tengah masyarakat dan dekat
dihati rakyat.

Kita masih kurang dan jauh ketinggalan dalam aspek mendekati
pemuda. Mendekati Golongan (Orang Muda Wanita) puteri lagi jauh.
Perlu ada pendekatan serta Hala Tuju yang jelas untuk mendekati
mereka dan menarik sokongan mereka. Golongan-Golongan Muda
lelaki dan wanita di Setiu, Kuala Berang dan Besut masih sinonim
dengan UMNO. Kita kena akui nya.

Begitu juga aspek kemasyarakatan dan juga aspek kebajikan perlu
dititikberatkan dalam menarik sokongan masyarakat. Imej-imej
AJK Pemuda, Muslimat dan Cawangan serta Kawasan perlu
dipertingkatkan. Terkadang dikalangan AJK sendiri lebih patut
dibantu dari masyarakat. Memang terasa sekali golongan Profesional
dan korperat tidak semeriah suasana di luar Terengganu.

Kita hanya diselimuti oleh Ustaz-Ustaz yang kadang-kala terlalu
menonjol dengan imejnya hinggakan payah dan malu untuk ditegur
dan apalagi untuk kita bersatu bercambah fikiran sesama kita.
Memang kita terbawa-bawa budaya menghormati golongan agama
sehinggakan kadangkala kita terpaksa menjadi pak turut.
Walaupun sebenarnya kadangkala idea kita jauh lebih bernas
dari mereka.

PAS Terengganu memang patut berubah. Golongan-golongan muda
patut diketengahkan dan golongan lama patut berundur dan
memberi peluang serta nafas baru kepimpinan PAS Terengganu.
Ada juga golongan lama yang masih terus menjadi libialiti kepada
PAS Terengganu untuk bertahta dihati masyarakat. Ada yang
memegang jawatan negeri terlalu lama dan mungkin jawatan seumur
hidup untuk beliau.

Mari kita berubah sebelum mengajak rakyat berubah. Ubah
pendekatan PAS Ke dalam masyarakat bukan lagi parti di surau dan
masjid. Sertakan bersama semua golongan ke dalam PAS. Jangan
hanya didominasi oleh satu puak sahaja. Dikala negeri lain telah jauh
kedepan. Imej PAS dinegeri ini semakin jauh kebelakang.
Apa lagi dimata rakyat.

PAS memang mempunyai produk terbaik dan terhebat untuk
masyarakat. Namun kegagalan kita menjajanya menyebabkan
masyarakat jauh dari kita. Mari lah kita berubah sebelum rakyat
berubah terus menolak kita. Kerana sayang kepada perjuangan ini
marilah kita sama-sama berubah. Masih belum terlewat untuk
menyemarakkan perjuangan dan kemenangan.