Sabtu, 9 Oktober 2010

Plilihan raya kecil ke 13 di Batu Sapi

KOTA KINABALU, 9 Okt: Pilihan raya kecil yang ke 13 akan diadakan di negara ini selepas 2008 apabila anggota Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Beliau meninggal apabila motosikal Kawasaki 750 yang beliau tunggangi berlanggar dengan sebuah kereta Mercedes di jalan Sembulan-Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu jam 11.40 pagi tadi.

Chong mula memenangi kawasan itu dalam pilihan raya umum 2004 tanpa bertanding dan menang lagi dalam pilihan raya umum 2008 selepas mengalahkan calon bebas, Chung Kwong Wing.

Chong mendapat 9,479 undi berbanding dengan Chung yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan seorang jurutera mekanikal. Beliau meninggalkan isteri Linda Tsen Thau Lin dan empat anak.


Read More

Galas: Pemuda PAS lancar jentera hari ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat negeri Kelantan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Markaz PAS Kawasan Gua Musang jam 3 petang ini.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.

"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima' minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, seramai 5000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.

"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.

Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.

Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP.


Read More

Jumaat, 8 Oktober 2010

MENGGALAS AMANAH DI PRK GALAS

Berikutan dengan kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Galas, Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan DUN untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November 2010.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di DUN Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di DUN Galas.

Saya menyeru kepada seluruh ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas dari Pakatan Rakyat yang berada di seluruh negara dengan kepakaran yang berbagai itu supaya dapat turun ke DUN Galas, Kelantan untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di DUN Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti. Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi.

Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerakerja yang kemas, serta kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun. InsyaAllah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Read More

Sabtu, 2 Oktober 2010

Tarbiah tarik minat bukan Islam sertai PAS

MARANG, 2 Okt: Pemuda dan pemudi PAS harus menjadi agen parti untuk menyanggah tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS sebuah gerakan tanpa tarbiah, sebaliknya parti politik semata-mata.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, perkara yang membezakan pemuda PAS dengan orang lain ialah tarbiah yang menjadi salah satu sebab orang bukan Islam tertarik dengan parti ini sehingga wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Hasil daripada tarbiah dalaman sehingga menghasilkan ahli yang istiqamah dengan perjuangan parti menyebabkan orang bukan Islam tertarik dengan PAS.

"Sebab itulah daripada kelab penyokong, kini parti mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan orang bukan Islam yang yakin dengan keikhlasan perjuangan kita," kata beliau ketika menyampaikan ulasan 'Pengukuhan PAS Melalui Tarbiah' di Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila.

Sebelum itu, veteran PAS, Datuk Yahya Othman membentangkan kertas kerja pertama bertajuk 'PAS dan Tarbiah Islamiah'.

Kertas kerja itu menekankan tiga tonggak utama kekuatan pemuda iaitu iman, ilmu dan akhlak.

Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok juga berkata, sebuah gerakan Islam di luar negara, Hamas turut mengagumi kejayaan PAS menarik orang bukan Islam untuk dekat dengan PAS.

"Sewaktu perjumpaan dengan gerakan-gerakan Islam di peringkat antarabangsa, pimpinan Hamas pernah memberitahu bahawa mereka akan belajar daripada PAS bagaimana untuk menarik orang bukan Islam," katanya.

Justeru pemuda dan pemudi, ujarnya perlu mengekalkan persepsi baik orang bukan Islam terhadap PAS.

"Orang bukan Islam memang meletakkan kepercayaan kepada PAS sehingga tidak takut untuk memberikan derma kepada parti kerana mereka yakin pemimpin PAS tidak menggunakan wang itu untuk kepentingan diri sebaliknya menggunakannya untuk kerja-kerja kebajikan," katanya.

Selain itu katanya, pemuda dan pemudi harus mementingkan ilmu pengetahuan agar perjuangan yang didokong tidak bertunjangkan semangat dan ikut-ikutan semata-mata.

Hari kedua ijtima' pagi tadi dimulakan dengan tafsir surah al-Hujurat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Read More

Sandar perjuangan pada tarbiah, bukan semangat

MARANG, 2 Okt: Lebih 5,000 peserta Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS peringkat kebangsaan menerima suntikan semangat daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis perasmian malam tadi.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan pemuda bahawa golongan mereka penting dalam perjuangan Islam.

"Islam meletakkan pemuda sebagai kumpulan yang penting dalam perjuangan sehingga Allah meletakkan satu surah yang khusus mengenai pemuda dalam al-Quran," kata Abdul Hadi.

Namun jelasnya, perjuangan pemuda haruslah ditunjangi tarbiah dan bukannya semangat semata-mata.

"Terdapat kumpulan yang menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

"Oleh itu Allah meletakkan agenda tarbiah kepada perjuangan ini," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media selepas majlis itu mengulangi penegasan Abdul Hadi mengenai kepentingan tarbiyah di kalangan pemuda.

"Kita lihat bagaimana Presiden telah meletakkan asas-asas utama yang perlu difahami dalam proses tarbiyah.

"Bukan sahaja kita bergerak kerja atas dasar semangat tetapi dengan bimbingan, panduan daripada wahyu Allah dalam al-Quran dan hadis," kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya juga, di samping ilmu dan kesungguhan,tarbiyah merupakan elemen penting dalam parti untuk menghadapi tekanan politik di negara ini.

"Dalam menghadapi tekanan politik di Malaysia, tarbiyah merupakan elemen penting dan kita harapkan agar kepimpinan yang lahir selepas ini dapat menilai sesuatu berdasarkan nas dan asas-asas yang bersumberkan sirah Rasulullah S.A.W.," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menyifatkan ijtima' ini sebagai tepat pada waktunya memandangkan PAS memerlukan jentera bagi menghadapi pilihan kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas tidak lama lagi.

"Ijtima' ini diadakan sesuai pada waktunya walaupun sebenarnya ia dirancang awal, sebelum berlaku kematian lagi.

"Ini boleh dijadikan asas bagi menyusun gerak kerja untuk pilihan raya di Galas dan kita harap ia menjadi pemangkin semangat untuk pemuda menghantar jentera ke sana," katanya.


Read More

IJTIMA TARBAWI BERMULA

MARANG - Ijtimak Tarbawi yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat adalah bertujuan menyemarakkan amal tarbawi dikalangan pemuda supaya memiliki kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran dalam mencapai kemenangan.

Perjuangan Islam yang didokongi akan bedepan dengan pelbagai cabaran samada dari luar atau pun dalaman.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, apabila PAS bercita-cita untuk menegakkan syariat Allahdiatas muka bumi, Umno dan Barisan Nasional bukanlah suatu cabaran yang besar

Beliau turut memetik kata-kata Imam Hssan al-Hudaibi yang bermaksud; Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya negara Islam Islam itu akan dapat ditegakkan di negara kamu.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluannya dalam majlis perasmian Ijtimak Tarbawi di masjid Rusila, dekat sini, 1 Oktober.

Selain dari mmpersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya, Ijtimak Tarbawi adalah untuk melatih para pemuda dari seluruh negara melaksanakan amal tarbawi


Read More