Sabtu, 2 Oktober 2010

Tarbiah tarik minat bukan Islam sertai PAS

MARANG, 2 Okt: Pemuda dan pemudi PAS harus menjadi agen parti untuk menyanggah tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS sebuah gerakan tanpa tarbiah, sebaliknya parti politik semata-mata.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, perkara yang membezakan pemuda PAS dengan orang lain ialah tarbiah yang menjadi salah satu sebab orang bukan Islam tertarik dengan parti ini sehingga wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Hasil daripada tarbiah dalaman sehingga menghasilkan ahli yang istiqamah dengan perjuangan parti menyebabkan orang bukan Islam tertarik dengan PAS.

"Sebab itulah daripada kelab penyokong, kini parti mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan orang bukan Islam yang yakin dengan keikhlasan perjuangan kita," kata beliau ketika menyampaikan ulasan 'Pengukuhan PAS Melalui Tarbiah' di Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila.

Sebelum itu, veteran PAS, Datuk Yahya Othman membentangkan kertas kerja pertama bertajuk 'PAS dan Tarbiah Islamiah'.

Kertas kerja itu menekankan tiga tonggak utama kekuatan pemuda iaitu iman, ilmu dan akhlak.

Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok juga berkata, sebuah gerakan Islam di luar negara, Hamas turut mengagumi kejayaan PAS menarik orang bukan Islam untuk dekat dengan PAS.

"Sewaktu perjumpaan dengan gerakan-gerakan Islam di peringkat antarabangsa, pimpinan Hamas pernah memberitahu bahawa mereka akan belajar daripada PAS bagaimana untuk menarik orang bukan Islam," katanya.

Justeru pemuda dan pemudi, ujarnya perlu mengekalkan persepsi baik orang bukan Islam terhadap PAS.

"Orang bukan Islam memang meletakkan kepercayaan kepada PAS sehingga tidak takut untuk memberikan derma kepada parti kerana mereka yakin pemimpin PAS tidak menggunakan wang itu untuk kepentingan diri sebaliknya menggunakannya untuk kerja-kerja kebajikan," katanya.

Selain itu katanya, pemuda dan pemudi harus mementingkan ilmu pengetahuan agar perjuangan yang didokong tidak bertunjangkan semangat dan ikut-ikutan semata-mata.

Hari kedua ijtima' pagi tadi dimulakan dengan tafsir surah al-Hujurat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.