Sabtu, 21 November 2009

Duri dalam daging dalam PAS

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kini sudah terdapat unsur-unsur pihak luar "menyelinap masuk" ke dalam parti itu untuk mencetuskan isu-isu dalaman, yang dipercayai berjaya mengalihkan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu, kata beliau, ahli parti itu di semua peringkat hanya "bergelut" sis-sia untuk menyelesaikan isu-isu tidak berbaloi yang dicetuskan oleh musuh-musuh PAS.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan siapa musuh yang dimaksudkan itu.

"Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita.

"Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS sambil menambah, kepimpinan parti itu menghabiskan masa dengan cuba menyelesaikan isu-isu yang sengaja dicetuskan.

Awal bulan ini PAS telah mengadakan seminar politik sebagai ganti kepada Muktamar Agung Luar Biasa yang disyorkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membersihkan beberapa pemimpin kanan parti itu.

Nik Aziz pula kini berhadapan dengan isu pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan buat beliau mengerjakan haji.

"Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan," kata Tuan Ibrahim.

Justeru Tuan Ibrahim berkata, mulai sekarang pemimpin-pemimpin PAS perlu memberi perhatian terhadap agenda perubahan iaitu masa depan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini.

"Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas, kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita," kata beliau dalam temu bual dengan Sidangonline.

Tuan Ibrahim kini berada di Mekah untuk menunaikan haji.

"Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya ... sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

"Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang," katanya lagi.

Dalam temu bual itu, Tuan Ibrahim juga berkata, beliau "cukup bimbang dalam konteks parti" ekoran wujudnya elemen-elemen berpuak di kalangan ahli dan pemimpin.

"Saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah.

"Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang 'over' sangat, lebih daripada kita kritik musuh kita.

"Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya... jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai," kata Tuan Ibrahim.

Mengambil kira pendekatan Islam, tegas beliau, ada etika dan adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.

"Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah," kata Tuan Ibrahim lagi sambil menambah, "jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah."

Mengenai Jawatankuasa Disiplin, Tuan Ibrahim menjelaskan ia perlu diperkasakan sehingga menjadi satu badan dalam parti yang dihormati oleh ahli-ahli.

"Hingga setakat ini Alhamdulillah, beberapa kes kita buat kenyataan baru-baru ini boleh reda. Sikap hormat ahli itu ada.

"Sebagai contoh bila kes kerajaan perpaduan... bila saya arahkan supaya semua diam dan minta jangan dibangkitkan sebarang kenyataan kontroversi, semua diam," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya sedang memantau beberapa orang yang dikaitkan dengan kes ini kerana dianggap boleh mengganggu siasatan

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/