Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka ditetapkan pada 6 Mac depan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari.
Perkara itu diumumkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di Labis lewat malam ini.
Abdul Aziz juga berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Januari lepas berhubung kekosongan kerusi DUN itu pada hari sebelumnya, lapor Bernama.
"Berikutan dengannya, SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.
Dalam pilihan raya umum 2008 itu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Mohamad Hidhir dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya.
Daftar Pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.
Daftar Pemilih tersebut mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.
Abdul Aziz berkata bagi menjalankan pilihan raya kecil DUN Merlimau, SPR akan enggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau, Melaka sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 21 saluran tempat mengundi. Seramai 248 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM830,000," katanya.