Allah mengurniakan amanah mentadbir sesebuah kerajaan kepada yang dikehendakiNya, sebagai suatu ujian dalam kehidupan di dunia. Asas pembangunan negara dari segi pembangunan insan adalah pembangunan roh dan akal dengan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.
Islam yang ingin dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan adalah bukan di atas kepentingan politik, tetapi adalah tanggungjawab dari Allah.
Perjuangan Islam memerlukan pengorbanan, tiada jalan mudah dan diiringi karpet baldu yang cantik, tetapi penuh dengan onak dan duri sepanjang jalan perjuangan.. Para pejuang juga tidak boleh gopoh dalam perjuangan, walaupun dilihat hampir mustahil untuk menempuh kemenangan. Para petugas dakwah ini juga mestilah yakin dengan janji Allah SWT, bahawa tugas yang sangat mulia ini akan dibayar dengan syurga Allah SWT. Lihatlah juga pedoman dan rentetan perjuangan para Nabi dan Rasul a.s. yang selama ratusan tahun teguh serta istiqamah pegangannya dalam membawa amanah Allah swt ini. Para pejuang Islam juga hendaklah sabar dalam menempuh jalan ini, dan tidak menjadikan diri mereka di kalangan orang yang ingin cepat dalam mencapai kemenangan.
Ambillah iktibar janji Allah, bahawa sekiranya jalan perjuangan ini mudah dan cepat, nescaya ramailah penyokong yang akan bersama kita untuk menunggu habuannya. Sedangkan kemenangan memerlukan pengorbanan, dengan menjadikan kemenangan dalam perjuangan ini mestilah dengan tarbiyah, iman dan penuh akhlak Islam dengan tidak membalas dendam sesudah mencapai kemenangan.
Akhirnya marilah menghayati 2 rangkap syair bahasa Arab yang diucapkan oleh Abu al Qaseem As Syaabi dari Tunisia yang meninggal dunia pada pertengahan tahun 1930an di usia muda belia:
"Apabila bangsa itu mahu menjadi bangsa yang hidup di suatu hari nanti, maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman dengan seruan qada Allah. Malam pasti akan berlalu dan tibanya waktu siang, dan pastilah gari yang mengikat rakyat itu akan pecah suatu hari nanti"
Nota Admin : Petikan ini merupakan ucapan Tuan Guru Presiden PAS ketika merasmikan Mesyuarat Agung Kawasan Kuala Kurau, pada ahad 27 Mac 2011, Di Dewan Darul Hikmah Kerdau.