KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said sekali lagi mengkritik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang yang didakwanya gagal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata kegagalan mereka menjadi perantaraan yang baik antara kerajaan dengan rakyat, bakal merosakkan nama baik kerajaan negeri dan JKKK wajar meletakkan jawatan mereka.
Katanya, jika perkara itu berterusan, apa sahaja bantuan dan sumbangan yang diberikan kerajaan negeri tidak akan sampai ke tangan rakyat.
"Saya amat kesal dengan tindakan sesetengah JKKK yang tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan sehingga menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan kerana bantuan tidak sampai.
"Jika perkara yang tidak sebesar manapun tidak dapat dilakukan, lebih baik mereka meletak jawatan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Parlimen Kuala Nerus semalam.
Namun apa yang membuatkan beliau marah pada kali ini?
Rupa-rupanya Ahmad marah kerana katanya, beliau telah mendapat banyak laporan daripada penduduk tentang sesetengah JKKK yang tidak menyampaikan sumbangan buah kurma dan air zam-zam kepada rakyat seperti yang diarahkan.
"Setiap JKKK perlu menyerahkan sumbangan tersebut dari rumah ke setiap rumah namun ada di kalangan JKKK tersebut memberikan sumbangan itu di masjid selepas selesai menunaikan solat tarawih.
"Ini menyebabkan ada yang menerima dan ada yang tidak menerima sumbangan tersebut malah ada yang menerima lebih daripada sepatutnya," ujarnya yang turut dipetik beberapa akhbar arus perdana.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana JKKK yang menyalahgunakan amanah yang telah diberikan.
Di Kemaman, kurma dan air zam-zam yang sepatutnya disampaikan oleh JKKK kepada setiap rumah hanya disangkut di pintu pagar.
Bendahari PAS Kemaman Haji Johan ketika ditemui semalam memberitahu, beliau mendapat kurma dan air zam-zam tersebut, namun tidak tahu siapa yang menghantarnya.
”Tak tahu siapa yang hantar, saya jumpa plastik yang berisi kurma serta air zam-zam tersangkut pada pagar depan rumah,”katanya.
Di Kuala Nerus, ramai penduduk yang tidak pun menerima hantara kurma dan air zam-zam tersebut.
Seorang penduduk di sebuah Taman Perumahan Seberang Takir berkata sehingga kini beliau belum menerima pemberian kerajaan negeri tersebut.
Manakala beberapa laman blog tempatan juga turut melaporkan, mereka hanya menerima hantaran kurma dan air zam-zam itu yang disangkut di pagar rumah sahaja.
Kerajaan Negeri membelanjakan RM8.3 juta untuk membeli kurma dan air zam-zam untuk diagih kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan merancang untuk mengagihkan 300,000 bungkus buah kurma dan air zam-zam itu kepada 300,000 buah rumah di seluruh negeri.
Perbelanjaan wang kerajaan yang begitu banyak menimbulkan tanda tanya dikalangan rakyat Terengganu.
Seorang ADUN BN pernah memberitahu pihak media supaya menyiasat pembelian kurma dan air zam-zam tersebut yang dikatakan, kontrak pembeliannya dianugerahkan kepada seorang ’kroni’.
Ahmad Said dilihat mengambil kesempatan, mencari publisiti dan menonjolkan dirinya dalam pemberian kurma dan air zam-zam ini kerana apa yang tertulis di kotak dan botol air zam-zam bukanlah ia hadiah dari kerajaan negeri Terengganu tetapi ”dari YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu”.