PERMATANG PASIR - Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Ustaz Salleh Man sah akan berhadapan dengan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir yang bakal diadakan pada 25 Ogos depan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan Ustaz Salleh sebagai calon PAS dalam satu majlis di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir, sebentar tadi.
Ustaz Salleh, 52, pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, pada pilihanraya umum ke 12, Mac 2008.
Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu. (Gambar - Ustaz Salleh (kiri) bakal berhadapan dengan Rohaizat (kanan))
Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.