Selasa, 4 Ogos 2009

Jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh telah bersedia

PERMATANG PAUH, 3 Ogos (Hrkh) - Jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh telah lama bersiap sedia menghadapi sebarang pilihan raya, kata Setiausaha PAS Permatang Pauh, Ahmad Kamal Ahmad.

Katanya, jentera PAS terutamanya di Unit Peti Undi (UPU) tidak pernah dibubarkan di keseluruhan Parlimen Permatang Pauh iaitu di Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Malahan sambungnya, ia sentiasa bergerak sebagai satu pasukan dengan jentera Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan) Cabang Permatang Pauh sejak Pilihan raya Kecil Permatang Pauh dan Penanti.

"Semua jentera kita bersiap sedia untuk berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) di N11 Permatang Pasir. Banyak isu sedang menanti untuk penceramah kita sebarkan," ujarnya ketika diminta pandangan mengenai persiapan terkini jentera PAS di situ.

Apapun kata beliau, malam ini PAS Kawasan akan berbincang mengenai nama-nama calon untuk dikemukakan kepada negeri bagi proses terakhir pemilihan sebelum diisytiharkan kemudianya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah bertekad mengerakkan semua jentera pemuda untuk memperkasakan Majlis Tindakan Dun (MTD) Permatang Pasir di samping memperbanyakan program kepemudaan di situ.

Tegasnya, bagaimanapun bukan sekarang pergerakan bermula bahkan sebelum ini lagi ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti."Yakinlah kita pasti menang lagi di sini namun yang jelas ialah kerjasama dan pergerakan bersepadu dari segenap segi," tambahnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Permatang Pauh, Suraiya Mohd Saat berkata, berbagai program kemasyarakatan telah diatur sejak dulu dan disusun mengikut strategi. Menurutnya lagi, maklumat mengenai Umno dan BN juga dapat di hidu dari masa ke masa dan memudahkan jentera bertindak menangkis tohmahan yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat.

"Menerusi bacaan Yasin di kampung-kampung banyak membantu jentera dekati masyarakat. Keaktifan Ahli Jawatankuasa juga dipuji kerana sanggup memberi masa untuk kepentingan jamaah," jelas beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Setiausaha Negeri KeADILan Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf dalam kenyataanya pada Harakahdaily, yakin calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat akan menang namun tidak anggap mudah kali ini kerana setiap pilihan raya kecil pastinya terdapat umpan.

Dari segi kerjasama sambungnya, KeADILan akan memberikan kerjasama maksimum untuk memastikan Dun Permatang Pasir tidak jatuh pada BN setelah Adunnya, Allahyarham Dato' Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman berjaya mengekal kemenangan tiga penggal berturut-turut.