KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu bimbang dengan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II yang lewat dari jadual asalnya. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata projek Lebuhraya Pantai Timur tersebut bukan perkara baru tetapi berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Bahkan, katanya sehingga berlaku pertukaran beberapa kali Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya dan kerajaan negeri Terengganu sendiri.
“Oleh kerana, projek ini terlalu lama untuk disiapkan sehingga bertukar-tukar Perdana Menteri, sehingga bertukar juga Menteri Kerja Raya dan kerajaan Terengganu juga bertukar-tukar.
“Kita (PAS) bimbang dengan masa yang begitu lama berlaku unsur diskriminasi terhadap negeri di pantai timur dan Malaysia Timur yang masih menjadi sebahagian dari ‘amalan’ (politiking)”, tegasnya.
(Gambar Atas - Pembinaan LPT Pakej 8 yang terlewat 20% dari jadual asal) Ustaz Abdul Hadi yang juga ADUN Rhu Rendang berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dari soalan asalnya ingin mengetahui bilakah projek LPT Fasa Dua dijangka siap sepenuhnya.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad menjelaskan LPT Fasa II tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2011.
“Status LPT Fasa II hingga Ogos 2009 sebanyak 60 peratus dan dijangka dapat digunakan pada bulan Mei 2011,” jelasnya.
Setakat ini, katanya hanya satu kontraktor yang telah menyerah balik kerja-kerja pembinaan kepada kerajaan negeri kerana peningkatan kos bahan binaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan memberitahu dewan kos keseluruhan LPT Fasa II tersebut menelan belanja RM3.7 bilion. (gambar kanan dan bawah - jadual dan graf menunjukkan progres pembinaan LPT, 9 dari 16 Pakej mengalami kelewatan)
“Kos asal LPT Fasa II ini ialah RM3.7 bilion dan daripada jumlah itu 50 peratus kerajaan persekutuan dan 50 peratus lagi dari ‘dana khas’ (wang royalti) kerajaan negeri,” ujarnya.
Sehubungan itu, ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, mengemukakan soalan tambahan, meminta Yahya memberitahu Sidang, kontraktor manakah yang telah menarik diri dari pembinaan LPT tersebut.
”Berhubung dengan kontraktor yang tarik diri, apa sebab dia tarik diri, adakah masalah kontraktor atau masalah-masalah harga dan sebagainya,
”Yang kedua berhubung dengan kos pembinaan, kos asal saya difahamkan RM1.8 bilion, adakah kositu meningkat sekarang dan banyak mana duit dana khas daripada royalti Terengganu yang digunakan untuk membina LPT (Fasa) Kedua ini,”soal Wahid.
Yahya ketika menjawab soalan tambahan Wahid tidak mengemukan nama kontraktor yang menarik diri sebaliknya hanya menyebut kontraktor baru yang dilantik.
“Setakat hari ini ada satu kontraktor yang telah menyerah balik kerja kepada kerajaan tender telah dibuat pelantikan baru kontraktor iaitu Duta Alam telah dibuat,
”Kos asal LPT Fasa II ini ialah RM3.7 bilion dan dari segi berapa banyak duit dana yang digubakan untuk menyiapkan lebuhraya ini, sebagaimana persetujuan yang dicapai, 50 peratus (dibelanjakan) daripada kerajaan persekutuan dan 50 peratus lagi dari ‘dana khas’ (wang royalti) kerajaan negeri,” ujarnya.
Justeru, PAS menyifatkan kos 50 peratus pembinaan LPT Fasa II yang ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu melalui ‘dana khas’ merupakan suatu tindakan tidak bijak kerana pembinaan lebuhraya adalah di bawah tanggungjawab kerajaan pusat.
Sumber http://www.buletinonline.net