Jumaat, 26 Jun 2009

SPRM jangan pilih bulu: Pas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa agar bersikap ‘tidak pilih bulu’ dan telus dalam isu siasatan politik wang yang membabitkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPRM telah menunjukkan sikap yang tidak adil kepada rakyat dengan menangguhkan siasatan terhadap perkara yang telah terbukti jelas kesalahannya.

Menurutnya, perbuatan SPRM tersebut jelas menunjukkan badan yang dianggap bebas oleh kerajaan itu telah dipergunakan demi menjaga kepentingan individu yang tertentu dalam kepimpinan Barisan Nasional(BN).

“Apa yang dapat dilihat sekarang ialah siasatan yang dilakukan hanya menumpukan kepada kes yang lebih menyebelah kepada Pakatan Rakyat (PR). Jika melibatkan kepentingan BN, siasatan tidak serancak apa yang dilakukan kepada PR,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang menyatakan SPRM sedang memperhalusi siasatan berhubung dakwaan politik wang bagi pencalonan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kes yang melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang didakwa menyalahgunakan kuasanya diselesaikan dengan cepat oleh SPRM berbanding kes-kes besar yang lain dilaporkan.

Se:mentara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw mahu SPRM melakukan siasatan berdasarkan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada mereka, bukan disebabkan tekanan daripada kerajaan.

:Menurutnya, SPRM haruslah bertindak membuat siasatan terutamanya kes yang berprofil tinggi dengan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.

“SPRM yang mempunyai fungsi tugas yang lengkap oleh undang-undang seharusnya tidak menggunakan kuasa mereka dengan dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana mereka sepatutnya menunjukkan kredibiliti mereka,” katanya.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, sekiranya siasatan tidak mempunyai sebarang bukti, maka pihak penyiasat tidak akan mampu berbuat apa-apa.

“Semua kes memerlukan bukti. Kika tiada bukti, kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi jangan sembunyikan bukti tersebut,” katanya.
Sumber http://www.tranungkite.net