Selasa, 6 April 2010

Dun Terengganu tolak usul bincang royalti minyak

KUALA TERENGGANU, 6 April: Usul untuk membahaskan royalti minyak di Dewan Undangan Negeri Terengganu telah ditolak oleh Speaker Dewan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang selepas ia dibentangkan oleh Adun PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi. Tengku Putera ketika menolak usul itu selepas Dewan ditangguhkan pagi tadi berkata, ia tidak perlu dibahaskan di Dewan itu kerana ia sedang dalam rundingan.

Ketika membentangkan usulnya, Syed Azman berkata, usul itu memenuhi segala yang diperlukan untuk sesuatu usul dikemukakan dan dibahaskan di Dewan itu di bawah perkara 30 peraturan Dewan.Katanya, tahun ini sudah masuk 10 tahun royalti minyak ditarik oleh kerajaan Pusat dari kerajaan negeri Terengganu.

Langkah ini, katanya, telah mencabuli hak demokrasi, sistem persekutuan dan melanggar perlembagaan negara.Tindakan ini juga, katanya, boleh menggugat amalan demokrasi di negeri ini dan sistem federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000 telah menarik royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada kerajaan negeri Terengganu ketika negeri itu ditadbir oleh PAS.Ekoran itu, kerajaan negeri telah menyaman kerajaan Malaysia dan Petronas namun sehingga kini ia belum selesai. Kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said yang ada juga enggan menarik balik kes itu dari mahkamah.

"Tindakan mengehsankan wang RM15.8 bilion yang sepatutnya diterima rakyat Terengganu adalah satu tindakan zalim kepada rakyat Terengganu yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam," kata Dr Syed Azman ketika membentangkan usul ini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sepatutnya, kata beliau, seluruh rakyat negeri ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sikap dan sifat seorang negarawan tulin."Beliau berani berdiri untuk mempertahankan fakta yang diselewengkan ini...namun sehingga kini tindak tanduk kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu terus dikesali," kata beliau ketika membentangkan usul itu.

Bagi beliau, kemiskinan rakyat Terengganu telah dimanipulasi dengan sogokan dan ugutan dan dalam masa yang sama mereka yang tamak haloba mengambil kesempatan dengan mengkayakan diri dan segelintir tauke Cina dari Kuala Lumpur.

Ia dibuat melalui projek persekutuan dan dana khas serta wang ehsan yang dicurahkan ke negeri Terengganu ini, katanya.Syed Azman juga berkata, usul ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal rakyat Terengganu keseluruhannya bukan kerana sentimen atau fahaman politik yang berbeza.