Sabtu, 25 Jun 2011

Tahniah skuad Harimau Malaya - Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada seluruh pemain, pengurusan dan penyokong atas kejayaan Skuad Bolasepak Harimau Malaysia Pra Olimpik Negara yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya setelah menewaskan Lubnan 2-1 malam tadi.

"Ia satu hadiah besar bagi seluruh peminat sukan bolasepak tanahair," kata naib ketuanya, Raja Ahmad Al-Hiss.

"Kami mengharapkan kecermelangan ini akan terus dipertahankan bagi peringkat seterusnya dan dengan harapan besar Skuad Harimau ini akan mencipta satu sejarah Sukan Olimpik yang menjadi harapan besar buat rakyat Malaysia terutamanya sukan bolasepak.

"Kami yakin sokongan peminat dan penyokong setia negara akan terus diberikan bagi meniupkan semangat pemain muda negara bagi terus berjaya meraih kemenangan kelak," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Malaysia mengalahkan Lubnan 2-1 dalam pertandingan pusingan kedua malam tadi selepas seri 0-0 di Lubnan.

Pasukan Malaysia mendahului 2-0 pada separuh masa pertama namun untuk separuh masa kedua Malaysia hanya mampu bertahan selepas Lubnan mula bersemangat apabila Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas seorang pemainnya dikenakan kad merah.

"Kami doakan kejayaan seterusnya buat Skuad Harimau ini dan terus mengharapkan sokongan semua pihak agar memberikan sokongan kepada semua pemain-pemain negara yang beraksi di tengah padang dengan kehadiran seramai mungkin memenuhi ruang stadium nanti.

"Syabas buat semua, kami akan sentiasa memberikan sokongan moral kepada pemain dan pihak pengurusan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar terus komitet menempuh kajayaan buat sukan bolasepak negara," kata Raja Ahmad dalam kenyataannya itu.