UALA TERENGGANU - Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir kini dinasihatkan ‘berehat’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu dinasihatkan oleh doktor pakar agar ‘berehat’ buat seketika bagi mengembalikan semula kesihatan akibat tekanan darah tinggi yang dialaminya.
Dimaklumkan, Ustaz Harun mengalami tekanan darah tinggi yang berlebihan serta jika dibiarkan tanpa rawatan boleh membawa kepada ‘minor stroke’ (angin ahmar ringan).
Namun begitu, tindakan ‘pantas’ ahli keluarganya mendapatkan rawatan di HSNZ berjaya mengelakkan terkena penyakit tersebut. “Jika saya banyak berjalan dan kurang rehat tekanan darah naik semula dan saya dinasihatkan oleh doktor supaya berehat dulu di sini (HSNZ),” kata Ustaz Harun, semalam, 8 Januari.
Anaknya, Mohd Hamdi Harun berkata tahap kesihatan ayahanda (Ustaz Harun) semakin baik dan tidak membimbangkan keluarga. Katanya, tekanan darah tinggi naik akibat pemakanan tidak seimbang, banyak aktiviti parti serta kurang waktu rehat yang mencukupi.
Menurutnya, akibat serangan awal ‘minor stroke’ tersebut kaki dan tangan sebelah kiri ayahanda terasa kebas-kebas. “Lihat keadaan hari (kedua) ini semakin baik dan segar. Ayahanda dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat dan kurangkan aktiviti buat seketika.
“Ayahanda boleh bangun, makan dan berjalan seperti biasa, Cuma tekanan darah tinggi lebih sikit (naik) dan tidak perlu risaulah, Insya’Allah,” ujarnya ketika ditemui di HSNZ. Menurutnya, kejadian berlaku pada hari Rabu (7 Januari) selepas menyampaikan kuliah maghrib dan solat isyak di Markaz Tarbiyyah Kubang Lembek kelihatan letih dan kurang bermaya.
Namun begitu, katanya pada hari Khamis sekitar jam 11.30 pagi selepas mendapat rawatan susulan doktor memberi nasihat agar ‘berehat’ di HSNZ. Antara pimpinan PAS yang mengunjunginya di HSNZ iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah serta beberapa orang pimpinan negeri lagi.
Selain itu, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut menziarahinya Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing serta kaum keluarga Ustaz Harun yang terdekat.