KOTA BHARU, 11 Jan: PAS Kelantan memandang serius tindakan pihak yang cuba mengancam penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dengan melemparkan kapak di rumahnya malam tadi.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan mahu menjadi hakim sendiri dengan menjatuhkan hukuman terhadap orang lain bertentangan dengan prinsip Islam.Katanya, biar pun tulisan blogger terbabit tidak disukai, namun melakukan tindakan kekerasan terhadapnya amat menyalahi agama dan amalan demokrasi.
“Kalau kita tidak bersetuju dengan tindakan seseorang ada saluran dibenarkan undang-undang boleh dilakukan. Bawalah ke mahkamah untuk diadili.“Saya juga percaya insiden seperti itu tidak dilakukan ahli atau penyokong PAS kerana mereka mempunyai kefahaman tentang agama,” katanya di sini.
Kickdafella dalam blognya mendedahkan rumahnya di Kampung Demit dekat Kubang Kerian dilemparkan kapak kira-kira 11 malam tadi sehingga menyebabkan keretanya rosak.
Menurutnya kapak berukuran hampir 30 sentimeter itu terkena cermin belakang kereta dan terpelanting lebih dua meter.
Blogger terbabit sebelum ini mencetus kontroversi apabila mendedahkan dakwaan salah laku membabitkan pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan.Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, tindakan melemparkan kapak sehingga merosakkan harta benda orang tidak sepatutnya berlaku dalam ketamadunan sekarang.
“Kita hendaklah bertindak lebih rasional dan bukannya menggunakan emosi sehingga boleh mengaibkan kita sendiri akhirnya,” kata beliau.