"Nabi SAW banyak mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dalam hidup. Ingatan itu ialah supaya manusia selamat dari azab Allah di dunia, apatah lagi di Akhirat.
Perumpamaan yang mudah, jika anda di jalanraya, apakah papantanda yang banyak? Tentunya papantanda ‘AWAS’. Kenapa? Jalanraya sepatutnya mudah dilalui, tetapi jika ada apa-apa yang membahayakan di hadapan, yang boleh menyebabkan kemalangan, tentulah tanda ‘AWAS’ itu akan menjadikan anda lebih berhati-hati. Demikianlah perjalanan di atas lebuhraya kehidupan ini yang perlu kepada banyaknya papantanda ‘AWAS’ ini.
Daripada Abdullah bin Umar ra, katanya: ‘Rasulullah SAW berhadap kepada kami, sabdanya: “Wahai Muhajirin! Lima perkara, jika kamu diuji dengan nya-dan aku minta berlindung dengan Allah bahawa kamu mendapatkannya:
1. Tidak nyata perkara keji (zina, liwat) dalam satu kaum, sehingga mereka mempromosikannya melainkan tersebar di kalangan mereka taun dan penyakit yang tidak pernah menimpa umat sebelum kamu
2. Tidaklah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan melainkan ditimpakan kepada mereka kemarau, payahnya perbelanjaan hidup dan kezaliman pemerintah ke atas mereka.
3. Tidaklah mereka menahan zakat harta mereka melainkan ditahan hujan dari langit. Kalau tidak kerana binatang melata, tentu tidak diturunkan hujan kepada mereka.
4. Tidaklah mereka membatalkan janji dengan Allah dan janji RasulNya melainkan Allah membiarkan mereka dikuasai musuh yang bukan dari kalangan mereka, lalu mereka merampas sebahagian dari apa yang ada ditangan mereka.
5. Dan selama pemerintah mereka tidak berhukum dengan Kitab Allah, dan hanya memilih dari apa yang diturunkan Allah melainkan Allah menjadikan pertelingkahan di antara mereka.
(Riwayat Ibn Majah dalam kitab al-Fitan Bab al-Uqubaat)