TAMPARULI, 18 Feb: Bekas Timbalan Menteri Buruh, Datuk Kalakau Untol mengumumkan perletakan jawatannya dalam semua anak-anak syarikat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat.
Langkah ini dibuat kerana tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan yang tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para pemimpin dari Sabah.
Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di sini.
Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.
Beliau mengumumkan juga keputusannya untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri Sabah dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihan raya umum ke-13.
Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negaratidak serius.