Rahsia Solat yang Khusyuk
Solat yang khusyuk menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. Nilai solat disisi Allah diukur dengan cara ditunaikan, sejauhmanakah dihadirkan kebesaran Allah dalam solatnya. Setengah ulama’ mensyaratkan khusyuk sebagai nilai diterima atau tidak solat seseorang. Bahkan kalangan mereka menyatakan batal solat orang yang tidak khusyuk daripada awal hinggal akhirnya.
Khusyuk merupakan amalan hati yang disertai dengan perbuatan yang mematuhi segala rukun-rukun dan syarat-syarat kesempurnaannya. Bermula daripada wudhuk, pakaian dan tempat yang suci daripada najis serta menutup aurat dan mengadap kiblat. Demikian juga cara takbiratul Ihram, berdiri, rukuk, I’tidak, sujud dan sebagainya.
Ibnu Abbas pernah berkata: “Solat dua rakaat yang ringan dalam keadaan yang berfikir dan khusyuk lebih baik daripada mendirikan malam dalam keadaan hati yang lalai”. Memperolehi solat yang hebat seperti ini memerlukan mujahadah yang berterusan kerana khusyuk ini bukannya sesuatu yang kekal pada mana-mana manusia. Ianya perlu diikat dengan kukuh dan dijaga dengan bersungguh-sungguh kerana khusyuk hari ini tidak menjanjikannya berulang pada solat yang akan datang. Antara caranya ialah membaca dan mendengar kisah orang yang Berjaya melakukannya sepanjang kehidupan mereka.
Nabi Ibrahim a.s apabila melakukan solat kedengaran daripada jauh degupan jantungnya dek rasa hebat kebesaran Allah. Saidina Ali r.a apabila masuk waktu solat berubah air mukanya dan menjadi pucat. Manakala Ali Bin Husain apabila dia berwudhuk maka menjadi pucat mukanya. Ahli keluarganya bertanya kenapa? Beliau menjawab: “Tahukah kamu, siapa yang akan aku mengadap?” Seorang ulama’ yang bernama Said at-Tanukhi apabila melakukan solat, air matanya tidak putus-putus mengalir hingga ke janggutnya sampai selesai solatnya.
Bagaimana solat kita? Moga Allah memberi kita kekuatan untuk bermujahadah bagi mendapatkan kemanisan ini.
Amin
http://tokkupasirgudang.blogspot.com/2009/11/rahsia-solat-yang-khusyuk.html