Sabtu, 12 Februari 2011

Mesir: Suara rakyat kuasa penentu

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) mengucapkan tahniah di atas kemenangan kuasa rakyat Mesir memaksa perletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir setelah diasak selama 18 hari.

“Kemenangan ini bukan hanya kemenangan rakyat Mesir tetapi kemenangan umat Islam serantau,” kata pengerusinya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob kepada Harakahdaily.

Hosni Mubarak, katanya bukan sahaja bertindak zalim dan diktator kepada rakyatnya tetapi kepada ummat Islam sedunia apabila bersekongkol dengan kerajaan zionis Isreal dalam membunuh ummat Palestin yang tidak berdosa.

Katanya lagi, kesungguhan Mubarak untuk tidak membenarkan bekalan ubat-ubatan dan makanan melalui sempadan negaranya di Rafah bagi membantu ummat Palestin di Gaza yang di tadbir oleh Hamas jelas membelakangkan isi hati dan naluri ummat Islam dunia amnya.

Menurutnya, melalui persefahamannya yang intim dengan Israel dan Amerika Syarikat, Mubarak telah sanggup untuk menggadaikan prinsip dan aqidah perjuangan Islamnya demi untuk menjaga hubungannya dengan kedua-dua negara itu.

“Di dalam negaranya sendiri, selama hampir 30 tahun pemerintahan kuku besinya, beratus-ratus ulama dan ribuan rakyatnya telah dipenjara dan ada yang hilang tanpa dikesan kerana dituduh menentang kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, demokrasi disekat, kebebasan bersuara dibatas, media dikongkong dan ekonomi hanya dikawal serta dibahagikan di kalangan kroni, justeru kesabaran rakyat Mesir akhirnya telah memberikan satu natijah yang luar biasa.

Katanya, LA DPPP juga berharap pihak berkuasa tentera tidak menyalahgunakan kuasa mereka dalam mana peralihan itu.

Beliau berkata, satu jawatankuasa sementara perlulah dibentuk di kalangan parti-parti politik di Mesir untuk segera mengadakan pilihanraya pemilihan presiden dan bukannya diuruskan oleh pihak tentera.

OIC umpamanya, kata beliau perlulah menghantar wakil bagi mamantau perjalanan peralihan itu daripada campur tangan asing terutamanya Israel dan Amerika Syarikat yang sangat khuatir dengan perkembangan terkini di Mesir.

“LA DPPP sendiri akan segera menghantar wakil ke Mesir bagi meninjau perkembangan terkini.

“Tahniah buat rakyat Mesir! Syabas ummat Islam serantau!” ujarnya.

Harakahdaily