Sabtu, 5 Februari 2011

PERSIAPKAN JENTERA PRU 13

Bukit Payung, MARANG - Ahli dan penyokong PAS diingatkan jangan berasa selesa dengan kemenangan PAS di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sikap itu akan menyebabkan ahli PAS leka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka bagi meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di negeri ini.

“Sehubungan itu, setiap Unit Peti Undi (UPU) PAS di negeri ini perlu menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya dipetik Sinar Harian

Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong Terengganu berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya DUN Bukit Payong, semalam.

Hadir merasmikan majlis pelancaran itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Mohd Nor turut menyarankan setiap jentera PAS memulakan tugas dengan melakukan ‘post mortem’ menyeluruh di atas jentera kempen mereka di setiap kawasan.

“Kita perlu mula bergerak dan memperbaiki mutu usaha serta strategi kempen bermula dengan melakukan ‘post mortem’ di setiap UPU bagi menghadapi pili-han raya umum akan datang.

“Malah, kejayaan kita sedikit-sebanyak bergantung kepada usaha awal ini,” katanya.