Jumaat, 11 Februari 2011

 Pemuda Islam Terengganu perlu bangkit

KUALA NERUS, 11 Feb: Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menggesa pemuda Islam di Terengganu bangkit dalam memastikan Islam menjadi asas perjuangan dan menjadikannya satu cara hidup.

Beliau juga menyeru seluruh jentera pemuda bersama dengan dewan pemuda turun berdakwah kepada seluruh umat bagi memastikan Islam tertegak di bumi Malaysia.

Tambahnya, anak-anak muda yang berada di bawah panji-panji Islam perlu sihat, berakhlak, berhemah dan mempunyai jati diri.

“Kita mahu pemuda sebagai penggerak utama kepada kebangkitan rakyat. Lihat satu dunia terutama di benua Arab anak muda bangkit membawa perubahan kepimpinan negara,” ujarnya ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2011 di padang bola Pekan Batu 6, di sini, pagi ini yang disertai kira-kira 10,000 pemuda seluruh negeri.

Majlis dimulakan dengan ucapan motivasi oleh AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pemuda Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menyeru seluruh pemuda Islam Terengganu bangkit menentang kemungkaran di negeri ini dan Malaysia.

Katanya, motto PAS Ganti Umno perlu diterjemahkan kepada realiti yang nyata.