Ahad, 5 Julai 2009

PAS kuasai golongan belia di Manek Urai

KUALA KRAI, 5 Julai (Hrkh) - Milik siapa Dun Manek Urai pada 14
Julai ini. Sukar untuk diramalkan, biar pun masing-masing
mendakwa ada peluang untuk menang. Mungkin petunjuk jelas
dapat dilihat apabila parti yang bertanding pada pilihan raya
kecil tersebut berjaya merebut hati golongan belia. Dan PAS
dilihat lebih menguasai kelompok pengundi muda.

Ini dapat dibuktikan apabila ramai golongan belia menyertai
program konvoi bermotor semalam, Ia disertai lebih 300 anak
muda yang layak mengundi di Dun Manek Urai.Pada sebelah
petang hari yang sama diadakan perlawanan bola sepak Antara
pasukan Belia Manek Urai Belia MU) dengan Veteran Kelantan
yang terdiri di kalangan bekas pemain Kelantan dan Malaysia.

Perlawanan persahabatan itu berakhir dengan Belia MU
ketinggalan 0 -3 kepada Veteran Kelantan. Padang kampung
Manek Urai Lama menjadi gelanggang mereka.

Di tempat yang sama juga berlangsung Karnival Pertanian Satu
Ibadat. Program tambah meriah lagi dengan kehadiran bekas
penyanyi rock, Renggo yang bertemu peminat.

Ramai penduduk tempatan hadir menyaksikan permainan yang
menyeronokkan tersebut.Lebih menarik lagi apabila setiap
pemain Belia MU menerima hamper sumbangan anggota Exco
kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan.

Sempena perlawanan itu juga pemain kedua-dua pasukan turut
melepaskan belon yang bercetak lambang PAS sebagai simbolik
kesediaan mereka mengekalkan kemenangan PAS di Manek Urai
14 Julai ini.

Turut hadir pada program tersebut anggota parlimen Kota
Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Dewan
Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Golongan belia merupakan 45.5 peratus atau 5,598 orang
daripada 12,293 pengundi di Dun Manek Urai. Manakala pengundi
berumur 40 - 59 tahun seramai 4,511 orang