Rabu, 22 Julai 2009

PAS SOKONG TUBUH SURUHANJAYA BEBAS

ALOR SETAR, 21 Julai - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menyokong penuh supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi PAS juga telah sepakat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat supaya suruhanjaya bebas yang ditubuhkan ini akan menjalankan siasatan dengan telus dan berwibawa bagi mencari punca sebenar kematian Teoh.

"Apabila siasatan ini dijalankan kita mahu supaya ia dijalankan dengan teliti dan adil. Keadilan sebenarnya adalah untuk semua rakyat. Kemungkinan dengan penyiasatan bebas oleh suruhanjaya yang dibentuk ini ia akan mencari punca kelemahan-kelemahan dalam jentera kerajaan yang perlu disiasat dengan teliti."

Dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), Abdul Hadi tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahukan ISA dikaji semula.
"ISA perlu dimansuhkan bukan dikaji semula.Ia adalah undang-undang yang aktanya pada zaman penjajahan Inggeris. Sepatutnya kerajaan perlu memerdekakan undang-undang negara. Ia sepatutnya bersikap bebas dan tidak membelenggu kezaliman serta mengongkong rakyat.

"Kita boleh bertindak untuk keselamatan negara. Cumanya undang-undang ISA ini adalah undang-undang yang sudah lapuk. Yang diperlukan ialah undang-undang yang tidak menzalimi rakyat serta dapat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Tapi apa yang ada sekarang ialah undang-undang yang menjaga keamanan parti dan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah.Ini bukan undang-undang keselamatan negara."
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program retreat (pemukiman) PAS di sebuah di sebuah hotel dekat sini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.