Khamis, 16 Julai 2009

Rasuah dan Sogokan Punca Undi BN Meningkat

KUALA TERENGGANU – PAS dengan tegas menyatakan, kehilangan undi sebanyak 1,287 berbanding yang diperolehi Pak Su Wei pada Mac tahun lalu, adalah disebabkan oleh rasuah dan sogokan wang serta janji-janji pembangunan Barisan Nasional (BN).

Ahli Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata demikian dalam sidang media sejurus pengumuman kemenangan PAS di buat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
Walaupun menang dengan majoriti tipis 65 undi, beliau tetap berbangga dengan keteguhan pendirian dan keberanian warga Manek Urai menolak tawaran ‘anak emas kerajaan persekutuan’.

“Tahniah kepada para pengundi Manek Urai yang begitu kuat ketahanan mereka,

semua saudara-saudara tahu bahawa penggunaan politik wang adalah begitu berleluasa adanya sampul biru sampul kelabu dan sampul putih diedarkan kepada pengundi pada hari ini,"katanya di pusat Penjumlahan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan Yahya Petra , Kuala Krai.

Walau bagaimana pun, katanya, pengundi Manek Urai masih lagi dapat bertahan dan ia adalah menjadi satu kebanggan kepada PAS, yang menunjukkan mereka masih mengutamakan perjuangan Islam.Katanya, jentera BN telah mengagih-agihkan wang rasuah untuk membeli undi pada malam sebelum hari mengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, kelmarin, Husam telah menggesa Timbalan Perdana Menteri menjelaskan apakah kandungan beg-beg yang dibawa oleh beliau dengan helikopter pada pagi itu dan juga hari penamaan calon 6 Julai lalu.

Sewaktu sidang media di Markaz Induk, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mendedahkan pihaknya ada menerima laporan tentang ada operasi berjalan ditengah malam dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Aziz Yusof berkata tidak perlu pengiraan semula dilakukan walaupun majority yang diperolehi PAS adalah kecil (Gambar - Abe Uji melawat pusat mengundi) .

Katanya pengiraan semula hanya boleh dilakukakan sekiranya perbezaan undi kurang empat peratus dari jumlah keluar mengundi, bukannya dari jumlah keseluruhan pengundi.
Namun beliau berkata BN boleh mencabar keputusan itu dimahkamah sekiranya mahu berbuat demikian.

PRK manek Urai diadakan kerana penyandangnya Haji Ismail Yaacob (Pak Su Wei) meninggal dunia kerana sakit pada 22 Mei lalu.Pada pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, PAS yang di wakili Pak Su We mendapat 5,746 undi menewaskan calon BN yang mendapat 4,394 undi.