Isnin, 17 Mei 2010

DAP rampas kembali Sibu, PR Cerah Di Sarawak

SIBU, 16 Mei: Calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Sibu menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil kawasan parlimen ini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Bukit Assek mendapat 18,845 undi, calon BN memperolehi 18,447 undi. Manakala calon Bebas, Narawi Haron sekadar mengutip 232 undi dan hilang deposit.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.Seramai 37,919 atau 69.33 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu meningkat jika dibandingkan dengan 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan yang merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.