Khamis, 13 Mei 2010

GERTAK TANGGUH PROGRAM 13 MEI

KUALA TERENGGANU, 12 Mei: Dua hari selepas didedahkan oleh PAS, Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) menangguhkan program anjuran mereka "Melayu Bangkit" yang dijadualkan berjalan pada 13 Mei esok di Stadium Tertutup Kuala Terengganu.

Pengumuman pembatalan program ini dibuat oleh Pengerusi Institut Intergriti Malaysia (IIM) cawangan Terengganu yang menjadi penganjur bersama program ini.

Baner yang dinaikkan untuk program itu juga telah diturunkan sejak pagi tadi. Ia telah digantikan dengan banner lain. Ekoran itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyambut baik keputusan ini dan memberikan peringatan agar program sebegini jangan lagi diulangi.

Bagi Mustafa, motif penganjuran program sempena meraikan ulang tahun ke-41 peristiwa berdarah 13 Mei, 1969 merupakan isyarat yang salah bagi rakyat.

"Penangguhan program bermotif perkauman itu terbukti membawa isyarat (yang) salah pada rakyat Malaysia, baik orang-orang Melayu sendiri atau Cina, India dan sebagainya," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dengan penangguhan program itu, menurut beliau, sepatutnya memberi pengajaran sendiri kepada Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) Razali Idris serta mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, beliau, mewakili PAS Pusat turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Institut Integriti Nasional (IIM), Datuk Dr. Mohd Tab Sallleh kerana berani menyuarakan rasa kesal dan sedih atas niat penganjuran program tersebut yang membabitkan IIM Terengganu.

Beliau juga mengajak rakyat Malaysia, khususnya kaum Melayu supaya menolak politik perkauman sempit yang dicetuskan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti tertentu di tanah air.Banner-banner yang dinaikkan untuk program juga telah diturunkan dan digantikan dengan banner lain.

Pada 11 Mei, PAS melalui Naib Presidennya, Salahudin Ayub dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah mengadakan sidang media khas bagi membantah cadangan perhimpunan yang sangat sensitif ini.

Ekoran tu, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek turut mengadakan sidang media membantah program ini dan mendesak rakan-rakannya dalam BN agar jangan terlibat dengan program ini.

MIC melalui Setiausaha Agungnya juga membantah program yang akan disertai Tun Dr Mahathir Mohamad ini.Ekoran itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid menyelar PAS kerana cuba mengaitkan Gertak dengan Umno.

Pengerusi Gertak, Razali Idris adalah Naib Ketua Umno Bahagian Marang. Dalam pilihan raya umum lalu, beliau telah bertanding atas tiket BN melawan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dun Rhu Rendang.

Di Kuala Lumpur, Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh melahirkan rasa sedih dan kesal sekiranya IIM Terengganu terlibat dengan program perhimpunan ‘Melayu Bangkit’ di Kuala Terengganu.Ini kerana, IIM Cawangan Terengganu adalah penganjur bersama program ini di samping Gertak.

"Kalau betul program ini akan diadakan dan IIM terlibat, kami sedihlah," katanya selepas menerima memorandum bantahan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berhubung penglibatan IIM Terengganu dengan program itu di pejabatnya di Menara Integriti Jalan Duta, di sini, pagi ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Setiausaha DPPP, Kamaruzaman Mohamad.