Sabtu, 22 Mei 2010

KENYATAAN MEDIA UST. NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI

KENYATAAN MEDIA

13 Mei 2010 / 28 Jamadil Awal 1431

LESEN JUDI – DIMANA PERKASA DAN PEMUDA UMNO?

Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menggesa agar Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pergerakan PEMUDA UMNO agar menyatakan pendirian mereka apabila Kerajaan Malaysia baru-baru ini meng’halal’kan judi dengan mengeluarkan lesen untuk berjudi sempena Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada bulan depan.

Ini kerana jika dilihat kepada tindak tanduk mereka sebelum ini berkaitan kes-kes yang melibatkan agama dan akidah, mereka begitu kedepan yang mana kononnya mereka pejuang agama yang sejati. Ketika kempen Pilihan Raya Kecil P094 (PRK P094), PEMUDA UMNO begitu konsisten dalam memperkatakan tentang arak,judi dan akhlak dengan menyerang peribadi calon yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) iaitu Dato’ Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Begitu juga di dalam kes yang melibatkan penggunaan kalimah ‘ALLAH’ oleh orang bukan Islam, Presiden PERKASA, Dato’ Ibrahim Ali yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dengan lantang menyatakan pendirian yang hanya orang Islam sahaja yang boleh menggunakan kalimah tersebut sehingga sanggup menulis surat kepada Pope di Vatican City. Beliau juga menyatakan bahawa PAS dan PKR tidak tegas di dalam hal ini hanya kerana hendak menjaga ‘sahabat’ di dalam PR. Pemuda UMNO juga tidak kurang hebatnya dengan melancarkan demonstrasi jalanan di beberapa tempat. Jadi persoalannya, mengapa dalam isu judi ini, mereka hanya berdiam diri? Apakah judi itu bukan satu dosa? Bukankah judi itu haram disisi agama? Atau benarkah judi sebenarnya merupakan sumber pendapatan bagi mereka?

Oleh itu DPPP mencabar PERKASA dan Pemuda UMNO agar menyatakan pendirian mereka berkaitan lesen judi ini. Jika tidak, inilah wajah sebenar mereka yang hanya menggunakan agama hanya untuk kepentingan politik dan meraih undi bagi meneruskan perjuangan poliotik sempit mereka. Dan bolehlah dikatakan laungan mereka sebelum ini untuk mempertahankan agama di dalam negara ini hanyalah retorik semata-mata

Disediakan oleh

HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT