KUALA TERENGGANU – Ketiadaan gula sejak seminggu lalu begitu ketara kini apabila ruang jualan gula pada dua hypermarket di bandaraya ini didapati kosong lewat petang ini, 10 Mei.
Seorang pekerja salah sebuah hypermarket tersebut memberitahu, pihak pengurusan mengarahkan beliau menambah stok gula pada ruang jualan sekali dalam tempoh sejam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan Buletinonline, bila waktu gula akan didapati di hypermarket tersebut.
”Pukul 6 (petang) baru ada gula, tambah satu jam sekali, setiap kali tambah 20 ‘bundle’ (pukal), satu pukal ada 12 kilo,”katanya.
Menurut seorang kakitangan lain, ketiadaan gula adalah kerana arahan dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Namun, beliau tidak tahu apa sebabnya pihak KPDNHEP mengarahkan hypermarket tersebut berbuat demikian, apabila diminta memberi penjelasan lanjut.
Pada 5 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pihaknya ada menerima laporan masalah kekurangan gula tersebut.
“Ia disebabkan berlaku sedikit masalah berkaitan pengangkutan yang membawa bekalan gula dari kilang ke negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, timbul persoalan terhadap jawapan yang diberikan Dr. A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut itu.
Sesudah lima hari berlalu, bekalan gula di bandaraya ini masih belum pulih, adakah bermakna, masalah pengangkutan masih belum selesai?