Ahad, 14 Jun 2009

120 Kakitangan Kerajaan Di Berhentikan - Mimpi Ngeri Menjadi Realiti

Written by Wartawan Buletin
Sunday, 14 June 2009 03:26
KUALA TERENGGANU - Mimpi ngeri yang sering bermain dalam fikiran 120 orang kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran akhirnya menjadi realiti apabila mereka benar-benar diberhentikan dan akan menjadi penganggur mulai 1 Julai ini.Mereka yang berkhidmat sebagai buruh dalam pelbagai jabatan di Terengganu telah menzahirkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan dengan berkumpul di Dewan Belia dan Sukan Jalan Pasir Panjang dekat sini hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Alias Awang, 47, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, berkata beliau bekerja lebih 12 tahun sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh."Jadi, kalau saya diberhentikan kerja ke mana pula saya hendak cari kerja, sedangkan umur saya telah lanjut dan anak-anak masih ada yang bersekolah," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.Zainal Shahruddin, 50, buruh di Sekolah Kompleks Gong Badak pula mengharapkan pihak berkenaan mengambil semula beliau dan rakan-rakan yang senasib dengannya untuk bekerja memandangkan ada di antara mereka yang sudah bekerja lebih 20 tahun.

Beliau berkata yang lebih menyedihkan lagi ramai di kalangan kakitangan kontrak JPM ini mempunyai banyak tanggungan seperti anak masih bersekolah dan pinjaman bank.Ramlah Kassim, 45, yang bekerja sebagai buruh di Sekolah Rendah Wakaf Mempelam sejak 13 tahun lepas, berharap kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran ini akan diambil bekerja oleh kerajaan negeri sesuai dengan kelayakan kelulusan kakitangan berkenaan.

Sumber http://www.buletinonline.net