Jumaat, 26 Jun 2009

Beri Peluang Rakyat Lihat Umno Kalah di Pusat

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Seperti biasa, setiap kali isu dalaman parti berkocak, penulis dihujani desakan supaya menulis isu tertentu, menyokong kenyataan pemimpin tertentu dan membidas kenyataan pemimpin yang lain. Hanya dapat disaksikan secara percuma apabila BN kalah di Pusat.

Penulis tidak nampak ia sebagai jalan penyelesaian atau sebahagian dari kaedah untuk mengurangkan ketegangan dalam jamaah. Adab berjamaah ialah apabila timbul salah faham, mana-mana individu yang terbabit dalam perbezaan pandangan mesti kembali duduk semeja, bersama orang tengah, bermuzakarah secara berhemah berdasarkan ilmu dan perhitungan masing-masing.

Muzakarah dan musyauwarah mesti dibuat secara tertutup. Jangan bocorkan maklumat sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak.
PAS ada Majlis Syura Ulamak, Dewan Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Semuanya sangat berautoriti untuk bermesyuarat mencari penyelesaian berasaskan hukum dan politik semasa.

Tapi kalau penyelesaian dibuat dengan meledakkan ungkapan-ungkapan sensasi dan kadang-kadang kontroversi di media-media perdana yang hampir kesemuanya merupakan media talibarut musuh, maka jalan penyelesaian akan semakin jauh, berliku dan berakhir dengan jatuh ke perigi buta.

Ketika ini adalah masa imej PAS naik menjulang, setelah kita mempunyai banyak negeri yang PAS berkuasa atau turut berkongsi kuasa. Imej PAS akan jatuh merudum jika para pemimpinnya menunjukkan perilaku ‘buruk’ kepada dunia luar bahawa mereka tidak tahu adab dalam berbeza pendapat.

Ahli-ahli bawahan jadi keliru. Betulkah ada pemimpin yang mengecam pemimpin lain secara terbuka dengan cabaran yang sangat melukakan hati? Betulkah ada kenyataan dari pemimpin yang kemaruk sangat untuk bekerjasama dengan parti rasuah? Jika cerita sensasi seperti itu tersiar dalam akhbar talibarut kita boleh beritahu ahli-ahli bawahan bahawa ia satu putarbelit. Tapi kalau yang tersiar ialah audio dan visualnya sekali, bagaimana ahli-ahli bawahan nak hadapi tempelakan dari orang awam di luar dunia PAS sana sama ada peminat atau pembenci.

Sewaktu Tun Dr. Mahathir menghentam Pak Lah secara terbuka kita tepuk tangan. Apabila Pak Lah kutuk Muhyiddin yang kononnya tak sabar-sabar nak jadi Timbalan Perdana Menteri, kita gelakkan Umno kerana berkelahi di halaman rumah hingga jiran-jiran turut nampak pinggan mangkuk berterbangan.

Maka, janganlah antara kita yang allergic mendengar nama Umno sekalipun (apatah lagi kerajaan perpaduan bersama Umno), tiba-tiba mengambil pula budaya dan perangai Umno untuk dituruti. Cukuplah. Berpada-padalah dalam bercakap, memberi pandangan mahupun menegur. Kembalilah kepada akhlak dan adab berjamaah.

Sewaktu isu 16 September disensasikan oleh golongan tertentu dalam Pakatan Rakyat, muncul pandangan yang berbeza dari ‘arus perdana’ PR ketika itu; iaitu dari Dato’ Haji Mustafa Ali dan Haji Mohamad Sabu. Mereka, disamping tidak mempercayai (juga tidak menyetujui?) pembentukan kerajaan 16 September, menegaskan bahawa kerajaan berintegriti hanya dapat dibentuk dengan mengalahkan BN dalam pilihanraya umum. Ada yang menempelak. Namun pandangan mereka hanya dapat diterima sepenuhnya selepas kejatuhan kerajaan PR Perak melalui cara di luar tabie.

Sama ada dijatuhkan melalui peti undi atau secara penghijrahan Ahli Parlimen, yang penting ialah BN khususnya Umno mestilah dijatuhkan dulu. Kalau mahu berbaik dengan Umno pun (saya katakan ‘kalau’) maka biarlah selepas mereka kalah di Pusat, bukan sebelum.

Beri peluang mereka jadi pembangkang dan rasakan apa yang pihak mereka tindas dulu pernah rasai. Sebaik-baik tarbiyah untuk orang sombong ialah penghinaan. Biar mereka rasa hidup tanpa kuasa, tanpa ‘perlindungan’ mahkamah dan polis, tanpa sumber dana dari komisyen projek dan tanpa media propaganda untuk mempertahankan kebobrokan mereka.

Ada yang berteori bahawa kalau Umno kalah di Pusat, rangkaiannya di akar umbi akan hancur lebur kerana sumber kekuatan mereka selama ini adalah kuasa dan wang. Tanpa keduanya, masakan mereka boleh bertahan sedangkan jati diri pun sudah luntur. Itu yang ramai kalangan rakyat nak lihat.

Ada lagi adegan orang ramai nak tengok ialah pembongkaran fail-fail penyelewengan pemimpin-pemimpin BN yang selama ini dipendamkan. Siapa pula antara pemimpin BN yang akan cabut lari keluar negeri untuk mendapatkan suaka politik? Berapa banyak kasut tumit tinggi, pakaian pelbagai fesyen dan sanggul isteri bekas pemimpin negara yang tertinggal dalam mahligai milik kerajaan. Bagaimana pula dengan perancang-perancang konspirasi terhadap Anwar sehingga beliau terpaksa merengkok dalam penjara. Mereka akan lari atau bersedia untuk diadili di mahkamah?

Semua ini sangat menarik minat rakyat jelata untuk menyaksikannya dan hanya dapat disaksikan secara percuma apabila BN kalah di Pusat.


sumber: http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2471&mode=&order=0&thold=0