Jumaat, 19 Jun 2009

Mesyuarat khas bincang isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz

KOTA BHARU, 18 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan dihadiri pemimpin tertinggi parti itu bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan. Katanya, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang akan melibatkan hanya pemimpin utama PAS.

"Pertemuan tersebut sebagai mesyuarat ukhuwah bagi menyelesaikan isu kerajaan perpaduan.
"Tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Khas Perhubungan PAS Kelantan di JKR 10, petang tadi.
Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, gabungan pakatan pembangkang sekarang merupakan kerajaan perpaduan yang sebenar.

"Kenapa perlu nak cari yang lain. Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan Islam fobia oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya. Inilah kerajaan perpaduan," katanya.
Sumber http://www.harakahdaily.net