Khamis, 25 Jun 2009

KENAPA HARGA MAKAN DI TERENGGANU MAHAL SANGAT?

Kuala Terengganu. Kenapa harga makan di Kuala Terengganu sangat mahal? Begitulah luahan dan keluhan pelancong luar dan juga penduduk negeri ini sendiri. Saban hari harga makan di Kuala Terengganu bagaikan tiada kawalan dan diberikan sesuka hati oleh para peniaga. Bayangkan harga makan pagi di Bandaraya Pesisir Air ini antara RM3.00 ke RM5.00? Itu baru makan pagi.

Kadangkala kami penduduk bandar ini malu dengan kehadiran teman-teman dari luar apabila mengajak mereka bersarapan di bandar ini. Bayangkan harga nasi dagang antara RM2.50 ke RM3.00. Sedikit saja nasi yang terhidang, tidak cukup untuk menampung perut hingga ke Tengahari. Itu belum harga nasi minyak lagi. Roti canai pun ada kedai yang mengenakan bayaran sampai RM1.00 bagi roti canai kosong.Ini baru sarapan pagi? Bayangkanlah.

Ditambah dengan harga makan di waktu tenghari lagi-lagilah memeritkan penduduk bandar ini. Harga makan kebiasaannya antara RM5.00 ke RM7.00 bagi sejenis lauk dan sayur, harga tersebut tidak lagi termasuk air. Kenapalah harga makan amat mahal dan mencekik pelanggan. Jika dibandingkan dengan bandar-bandar besar lain seperti Kota Bharu, Alor Setar jauh lebih murah dari Kuala Terengganu. Kuala lumpur sendiri lebih murah makan dari bandar ini.

Justeru itu kami amat mengharapkan Pihak Penguasa dapat menangani permasaalahan ini. Sebelum Kuala Terengganu tidak lagi di datangi pelancong kerana sikap peniaga yang cekik darah ini berleluasa mengenakan harga makan yang langsung tak mesra pelancong dan pelanggan. Kawal dan kenakan harga yang munasabah yang menjadi tarikan pelancong luar dan juga penduduk tempatan sendiri. Sesungguhnya penduduk Kuala Terengganu sendiri sudah tak mampu berdiam diri dengan harga makan di Bandaraya ini. Kesabaran rakyat sudah sampai ke tahap maksimun.

Kami amat mengharapkan kerajaan Negeri dan Penguasaha tempatan buatlah sesuatu untuk kebaikan rakyat dan imej bandaraya ini. Biar Bandaraya ini menjadi mesra pelancong dan diingati kerana harga makan yang murah dan menyelerakan. Buat lah sesusatu dan kawallah harga makan di Kuala Terengganu yang semakin melampau ini demi kebaikan semua pihak.