Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang diberikan taklimat tentang perkembangan semasa oleh Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali sejurus kembali ke tanah air. Taklimat disampaikan dalam satu pertemuan berlangsung di rumah timbalan presiden dekat ibu Negara malam tadi.Pertemuan ringkas tersebut diadakan sebelum mesyuarat penuh yang akan diadakan pada malam ini 22 Jun. Dato’ Mustafa ketika dihubungi pagi tadi mengesahkan ada menemui Presiden untuk memaklumkan perkembangan semasa. "Ya ada, tapi dah lewat... nanti kita akan bincangkan dalam mesyuarat (malam ini)," katanya ringkas, yang dirakam mStar.Selain itu beberapa pertemuan dan mesyuarat penting sebagaimana dijadualkan akan berlangsung hari ini.
Kelmarin, Dato’ Mustafa telah memaklumkan satu mesyuarat dengan rakan Pakatan Rakyat akan diadakan di bangunan Parlimen pada tengah hari hari ini.Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Dato’ Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertemu Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dan beberapa pimpinan lain, di Kota Bharu hari ini.Adalah dipercayai, menjelang esok atau lusa, satu kenyataan baru tentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat berkaitan isu kerajaan perpaduan akan dikeluarkan.