KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Hrkh)- Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mensyorkan agar satu badan bebas ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. Ini kerana, Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek pembinaan stadium berkenaan.
Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah melahirkan rasa ragu jika siasatan kes tersebut hanya dilakukan oleh pihak JKR sendiri. "JKR adalah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap projek itu (Stadium) kerana ianya adalah projek di bawah selenggaraan JKR.
"Mampat ragui sekiranya, siasatan dijalankan oleh JKR sendiri kerana merasakan siasatan itu tidak ada ketelusan dan akan dipertikaikan banyak pihak," jelasnya pada siding media di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini, semalam.
Ini penting, katanya penubuhan badan siasatan bebas bagi memastikan ketelusan serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap jentera kerajaan tersebut. Beliau mendakwa Pengarah JKR negeri sendiri hanya dilantik sebagai 'Site Officer' (SO) serta tidak ada wakil SO lain yang dilantik sebagaimana kebiasaannya. "Pengawasan projek stadium itu adalah di bawah Pengarah JKR negeri dan kebiasaan JKR akan menlantik SO. Dalam kes ini (stadium), Pengarah JKR sendiri yang jadi SO dan tidak ada wakil SO lain yang dilantik," ujarnya.
Justeru itu, pihak Mampat memohon agar JKR menyerahkan carta organisasi pengawasan dan pengurusan yang lengkap dengan bidang kuasa yang dibenarkan. Katanya, Mampat juga melahirkan rasa dukacita kerana pihak JKR dilihat tidak teliti serta profesional dalam pemilihan kontraktor pakar. Menurutnya, pihak JKR telah menyerahkan kerja-kerja pemasangan bumbung kepada 'kontraktor utama' yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
"Kami (Mampat) menggesa pihak JKR untuk menjelaskan kenapakah kerja-kerja pembinaan dan pemasangan bumbung canggih itu (stadium) diberi terus kepada kontraktor utama," soalnya.
Berikutan itu, katanya pihak Mampat bersetuju serta menyokong penuh cadangan awal Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang mahu menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat punca terjadinya runtuhan tersebut. Mampat turut mengesa agar badan-badan berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telus menjalankan siasatannya.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan dan Setiausahanya, Tengku Ahmad Tengku Husain dan Muhammad Zaidan Abdullah.
Sumber http://mampat.blogspot.com